"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kontraktor Bangladesh didakwa terima rasuah atur kemasukan warga asing disenarai hitam Imigresen

Nur Izzati Mohamad
bhnews@bh.com.my
Warga Bangladesh, Alif Khan, tengah diiringi anggota SPRM di mahkamah selepas dituduh menerima rasuah RM2,000 di Mahkamah Sesyen Butterworth. - NSTP/Danial Saad
Warga Bangladesh, Alif Khan, tengah diiringi anggota SPRM di mahkamah selepas dituduh menerima rasuah RM2,000 di Mahkamah Sesyen Butterworth. - NSTP/Danial Saad
BUTTERWORTH: Seorang kontraktor warga Bangladesh yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket mengatur kemasukan warga asing menerusi laluan kaunter khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menerima rasuah.

Alif Khan, 35, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menerima suapan wang RM2,000 daripada seorang wanita warga Indonesia sebagai dorongan membantu menyahkan senarai hitam Imigresen.

Wanita itu dikatakan mempunyai rekod senarai hitam Imigresen dan tertuduh dikatakan boleh membantunya.

Kesalahan didakwa dilakukan di perkarangan sebuah hotel di Jalan Penang, Georgetown, dekat sini pada 17 Oktober lalu, antara jam 9.20 malam hingga 9.45 malam.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afiqa Liyana Rozman manakala tertuduh diwakili peguam Lim Sheng Zen.

Afiqa Liyana memohon mahkamah tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana bukan warganegara Malaysia.

"Tertuduh berkemungkinan terbabit dengan sindiket luar negara yang dikhuatiri menyebabkan dia melarikan diri ke negara asal atau negara lain.

"Apatah lagi tertuduh menyewa di Bayan Lepas dan tidak ada tempat tinggal tetap, namun jika mahkamah ingin membenarkan tertuduh diikat jamin, diharapkan dapat meletakkan wang jaminan paling tinggi selain syarat tambahan," katanya.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Lim Sheng Zhe, merayu anak guamnya dibenar ikat jamin dan sedia memberi kerjasama sehingga perbicaraan selesai.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 20 November sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tiada ulasan: