"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dua pesawat ringan bertembung, 3 maut

Bernama-Xinhua
PASUKAN kecemasan berada di lokasi insiden pesawat ringan terhempas di barat daya Sydney  yang mengorbankan tiga individu. FOTO Ihsan 9News.
PASUKAN kecemasan berada di lokasi insiden pesawat ringan terhempas di barat daya Sydney yang mengorbankan tiga individu. FOTO Ihsan 9News.
Sydney: Tiga individu maut selepas dua pesawat ringan berlanggar di udara sebelum terhempas di barat daya Sydney pada Sabtu, lapor Xinhua.

Pasukan kecemasan dipanggil ke Belimbla Park, kira-kira 65 kilometer barat daya pusat bandar Sydney, sejurus sebelum tengah hari waktu tempatan susulan laporan bahawa dua pesawat telah bertembung dan terhempas.

Polis di negeri New South Wales (NSW) mengesahkan pada Sabtu petang bahawa tiga lelaki ditemukan mati di tempat kejadian.

Dua kawasan kejadian nahas yang berdekatan telah ditubuhkan di lokasi pesawat-pesawat terlibat terhempas.

Perbadanan Penyiaran Australia melaporkan bahawa salah satu pesawat itu terbakar sejurus selepas pelanggaran.

Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), badan kerajaan persekutuan yang bertanggungjawab menyiasat kemalangan berkaitan pengangkutan, berkata dalam satu kenyataan bahawa pesawat yang terlibat dalam pelanggaran itu ialah Jabiru dan Cessna 182.

"Satu pasukan penyiasat keselamatan pengangkutan daripada pejabat ATSB di Canberra, yang mempunyai pengalaman dalam operasi dan penyelenggaraan pesawat, sedang bersiap untuk dihantar ke lokasi nahas kedua-dua pesawat bagi memulakan aktiviti pengumpulan bukti," katanya.

Dalam beberapa hari akan datang, penyiasat akan menjalankan pemetaan tapak, memeriksa bangkai kedua-dua pesawat, dan mengumpul sebarang komponen yang berkaitan untuk pemeriksaan lanjut di kemudahan teknikal ATSB di Canberra.

Polis menasihatkan penduduk tempatan supaya menjauhi kawasan kejadian.

Tiada ulasan: