"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Masalah bunuh diri semakin serius

Harapandaily

Tular beberapa rakaman video dikaitkan cubaan bunuh diri dengan terjun ke dalam Sungai Kelantan antaranya dari Jambatan Pasir Pekan.
Klip video yang tersebar di TikTok itu memaparkan sebuah motosikal ditinggalkan di atas jambatan tersebut.
Sementara itu, kumpulan Facebook Kelantan Info Semasa pula memberitahu kejadian terjun berdekatan Lotus di Kota Bharu.
“Musim terjun mari pulak di jambatan sohor Tendong dan (Jambatan) Sultan Yahya Petra atau Jambatan Tesco.
“Katanya hari ini (semalam) di Tesco pula,” kata laman yang mempunyai 128,000 pengikut itu.
Dalam masa sama, tular sedutan video di WhatsApp menunjukkan seorang pemuda kelihatan duduk di tepi sebuah jambatan di Kota Bharu.

Difahamkan, individu disamping motosikalnya dengan dikelilingi orang ramai itu berjaya diselamatkan daripada cuba untuk terjun ke Sungai Kelantan.

Jambatan Sultan Yahya Petra berdekatan Lotus yang menghubungkan Pasir Pekan, Tumpat ke Kota Bharu merupakan jambatan yang pertama siap dibina merentasi Sungai Kelantan pada 1965 dengan menelan kos sebanyak RM5 juta.
Jambatan Sultan Yahya Petra pernah menjadi jambatan yang terpanjang di Asia Tenggara ketika siap dibina pada 1965.
Muncul menjadi lokasi sohor untuk cubaan bunuh diri di Kelantan, trend sama juga dicatatkan di Jambatan Sultan Ismail Petra (Pasir Mas ke Kota Bharu) yang lebih dikenali sebagai Jambatan Tendong.
Jasad seorang peniaga kosmetik ditemukan di Pulau Dollah, Pantai Kuda pada Januari lalu selepas dilaporkan terjatuh dari Jambatan Sultan Ismail Petra.
Kedua-dua jambatan yang berjarak kira-kira 9 kilometer itu sejak pandemik Covid-19 kerap menyaksikan aksi cubaan menamatkan nyawa sama ada berjaya diselamatkan mahu pun ditemukan lemas.

Sebanyak 19 kes terjun ke Sungai Kelantan direkodkan di Jambatan Sultan Yahya Petra dan Jambatan Tendong sejak 2021 hingga Ogos lalu.

Pelaku terbabit terdiri daripada pelbagai peringkat usia jantina dan kaum.

Sumber Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mendedahkan, daripada jumlah itu, 17 kes melibatkan mangsa ditemukan lemas selepas terjun dari jambatan ke Sungai Kelantan.

Antara lokasi paling banyak dilaporkan ialah Jambatan Sultan Yahya Petra, diikuti Jambatan Tendong serta Jambatan Salor dan Pak Nik Lah di Kota Bharu.

Kes terjun jambatan di Kelantan turut berlaku di Wakaf King dekat Tumpat dan Tok Bali, Pasir Puteh.

Tiada ulasan: