"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis lepas tembakan, tahan suspek curi kabel TNB

Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my

Georgetown: Polis melepaskan sekurang-kurangnya dua das tembakan bagi menghentikan kenderaan dinaiki suspek kes curi kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Kelawai di sini, hari ini.

Tembakan dipercayai dilepaskan selepas lelaki itu bertindak agresif merempuh kenderaan anggota serta orang awam.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, tembakan dilepaskan anggota ke arah tayar bahagian hadapan kenderaan suspek yang sedang bergerak walaupun diarahkan berhenti.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, ketika kejadian suspek berusia 32 tahun itu dipercayai merancang mencuri kabel di Bilik Pencawang TNB berhampiran Plaza Gurney di sini.

Katanya, sebaik diminta berhenti bagi pemeriksaan, suspek memandu secara berbahaya termasuk merempuh beberapa kenderaan lain dalam usaha melarikan diri.

"Bagaimanapun, selepas tembakan dilepaskan di bahagian tayar hadapan, kereta Honda Civic itu terhenti kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.

"Suspek keluar daripada kereta dan melarikan diri kira-kira 500 meter sebelum berjaya diberkas polis di Solok Midlands di sini," katanya, hari ini.

Lee berkata, suspek dipercayai orang yang sama terbabit dalam satu kes curi kabel TNB, dilapor berlaku pada Rabu lalu.

"Anggota polis berada di lokasi bagi menjalankan siasatan sebelum sedar kehadiran suspek.

"Turut dirampas beberapa peralatan yang dipercayai diguna bagi kegiatan curi kabel dalam kereta suspek dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Tiada ulasan: