"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lima ditahan berkait kes culik lelaki China

Bernama

KLANG: Polis menahan lima lelaki termasuk seorang warga tempatan dipercayai terlibat kes penculikan seorang warganegara asing di sekitar Sepang baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata kejadian awal pagi 18 Okt berlaku ketika mangsa warga China dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menaiki perkhidmatan e-panggilan sebelum ditahan sebuah kereta di Plaza Tol Putrajaya.

“Empat suspek warganegara asing turun dari kereta itu dan melarikan mangsa yang kemudian dikurung di sebuah premis di ibu kota.

“Polis percaya hal itu bertujuan melakukan pemerasan terhadap keluarga mangsa dengan mengatakan mangsa berhutang dengan suspek dan telah bertindak meminta wang tebusan kira-kira RM300,000,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan dewan serbaguna IPD Klang Selatan.

Hussein berkata, susulan itu pada 19 Okt polis berjaya menemukan mangsa dalam keadaan cedera di Hospital Kuala Lumpur akibat cubaan menyelamatkan diri dengan terjun dari bangunan tempat dia ditahan sekali gus membawa kepada penahanan empat suspek itu.

“Tangkapan seterusnya pada 22 Okt iaitu terhadap seorang lelaki tempatan dan kes ini masih dalam peringkat siasatan untuk kita mencari barang kes,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek warganegara asing berusia antara 30 hingga 40 tahun direman hingga Isnin ini manakala suspek warga tempatan hingga Selasa untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, berhubung perkembangan kes seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang dicabul selepas diculik di Bandar Bukit Tinggi 1, Hussein berkata kertas siasatan akan diserahkan kepada pejabat timbalan pendakwa raya minggu depan.

Tiada ulasan: