"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Guru agama mengaku tak salah rogol, amang seksual pelajar OKU

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang guru agama mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar kurang upaya (OKU) antara Disember 2023 sehingga Ogos lalu.

Mohd Zulkurnain Mohd Zain, 34, membuat pengakuan itu di depan Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru Siti Noraida Sulaiman.

Dia didakwa atas dua pertuduhan merogol dan lima pertuduhan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 15 tahun antara 3.30 hingga 4.30 petang Disember 2023 serta tiga bulan lalu di stor sebuah sekolah pendidikan khas di Johor Bahru.

Bagi kesalahan merogol, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan amang seksual fizikal, dia didakwa mengikut Seksyen 14(b) dan Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Wahida Shahudin memohon mahkamah mengenakan jaminan RM60,000 dengan seorang penjamin bagi semua tujuh pertuduhan, selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Iskandar Shah Ibrahim yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kepada RM30,000.

“Tertuduh penjawat awam yang bergaji kasar RM3,000 sebulan, manakala isterinya hanya mendapat RM1,800 sebulan, malah dia juga menderita penyakit apendiks,” katanya menurut Berita Harian.

Hakim memutuskan ikat jamin RM35,000 bersama seorang penjamin serta dua syarat yang dikemukakan timbalan pendakwa raya.

Sebutan semula kes ditetapkan 30 Dis depan bagi penyerahan dokumen.

Tiada ulasan: