"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita bunuh anak perempuan kerana tidak diterima teman lelaki

Agensi

New Delhi: Seorang wanita di India, baru-baru ini, tergamak membunuh anak perempuannya yang berusia lima tahun hanya kerana teman lelakinya enggan menerima kanak-kanak itu.

Times of India melaporkan, kes pembunuhan yang mengejutkan itu berlaku di Ashok Vihar dekat barat laut di sini.

Mangsa dipercayai dicekik oleh ibunya, lapor polis pada Sabtu lalu.

Hospital Deep Chand Bandhu memaklumkan kepada polis mengenai seorang kanak-kanak perempuan yang dibawa dalam keadaan sudah tidak bernyawa.

Menurut polis, suami pertama wanita itu meninggalkannya dan kemudian dia berkenalan dengan lelaki dikenali Rahul di Instagram (IG)

Suspek datang ke sini dari Himachal Pradesh dengan harapan untuk mengahwini Rahul, namun lelaki itu dan keluarganya enggan menerima anak perempuannya.

Siasatan mendapati bahawa kanak-kanak itu diserang secara seksual oleh seorang saudara di Himachal, tempat mereka tinggal, sebelum datang ke sini.

Menurut polis, ibu yang ditahan bersama individu lain yang dikenali kanak-kanak itu, mengakui perkara berkenaan.

Dia didakwa melakukan pembunuhan itu kira-kira 2.30 petang pada Khamis lalu.

Pada 6.15 petang, suspek membawa mayat mangsa ke hospital dan memberitahu doktor bahawa kanak-kanak terbabit sebelum itu tidur nyenyak.

Sebaik doktor memberitahunya bahawa kanak-kanak itu sudah meninggal dunia, dia mula menangis dengan kuat.

Bagaimanapun, mukanya menjadi pucat apabila doktor bertanya kepadanya mengenai tanda kecederaan pada leher mangsa dan dia tidak dapat memberikan jawapan memuaskan.

Mengesyaki sesuatu yang tidak kena, pihak hospital memaklumkan kejadian itu kepada polis pada 6.30 petang.

Wanita itu kemudian ditahan dan kes disiasat mengikut Akta Perlindungan Kanak-kanak daripada Kesalahan Seksual.

Tiada ulasan: