"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penumpang warga asing buat kecoh di KLIA, meninggal dunia

Raja Noraina Raja Rahim
bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga asing yang ditahan kerana membuat gangguan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, kelmarin, meninggal dunia.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota dari Balai Polis MTB (Main Terminal Building) pada 1.30 tengah hari.

"Suspek dalam perjalanan dari United Kingdom (UK) ke Phuket, Thailand dan sewaktu transit di KLIA, dia melakukan kacau ganggu dan bertindak agresif lalu ditahan.

"Ketika ditahan, suspek masih bertindak agresif dan merosakkan barang milik balai polis selain mengakibatkan kecederaan kepada tiga anggota polis termasuk polis bantuan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hussein berkata ketika dalam proses dokumentasi suspek tidak sedarkan diri dan pihaknya segera mendapatkan bantuan pihak perubatan KLIA.

Katanya, suspek diberikan rawatan awal oleh doktor sebelum disahkan meninggal dunia.

"Bedah siasat dijalankan di Hospital Sultan Idris Shah,

Serdang semalam, namun punca kematian belum dapat dikenalpasti dan memerlukan keputusan siasatan makmal," katanya.

Hussein berkata setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Katanya, siasatan diteruskan oleh Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman daripada pelbagai sudut sebelum hasil siasatan diserahkan kepada Koroner.

"Siasatan juga dirujuk kepada Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) selaras Seksyen 26 Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2022 (Akta 839)," katanya.

Tiada ulasan: