"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Krisis Pas di Perlis berterusan di dalam Pas

Harapandaily

Tiga Adun yang dipecat kerana menarik sokongan kepada Menteri Besar Perlis sebelum ini berkemungkinan kembali ke pangkuan Pas.

Mursyidul Am Pas Datuk Hashim Jasin berkata penamatan keahlian tiga Adun tersebut oleh presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang adalah tertakluk kepada Majlis Syura.

Menurut Hashim, segala ketetapan yang dibuat oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, berhubung kedudukan tiga Adun terbabit belum muktamad sepenuhnya kerana kuasa akhir terletak di tangan Majlis Syura.

Katanya, usaha mencari penyelesaian terhadap isu tersebut sedang giat dijalankan dan diyakini dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Pertemuan kelmarin itu, apa yang saya boleh kata, usaha untuk mencari jalan penyelesaian mengenai tiga Adun ini kita sedang giat jalankanlah. Insya-Allah, kita yakin dalam masa terdekat ini boleh selesai,” katanya, lapor Malaysiakini.

Beliau merujuk kepada pertemuan beliau dengan presiden Bersatu Tan Sri Mahiaddin Yassin dan Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah yang turut dihadiri oleh Adun Chuping Saad Seman, Adun Bintong Fakhrul Anwar Ismail dan Adun Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim.

Hashim berkata ketiga-tiga mereka wajar membuat rayuan kepada Majlis Syura.

“(Kita bincangkan penyelesaian kepada masalah) di antara PAS Pusat dengan tiga Adun ini, mereka dah merayu balik dekat Majlis Syura dan sebagainya dan tengoklah dalam mesyuarat minggu depan kita akan putuskan,” katanya.

“Majlis Syura ada lagi, jadi presiden masih tertakluk kepada Majlis Syura dalam hal ini,” ujarnya.

Tiada ulasan: