Bernama
Anita Lukman menjadi tertuduh pertama di Malaysia yang didenda dan diperintah menjalani khidmat masyarakat atas kesalahan membuang sampah di tempat awam.

Anita Lukman mengaku bersalah membuang puntung rokok dan botol minuman di tempat awam pada 1 Jan lalu. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU: Seorang warga Indonesia didenda RM500 dan diperintah menjalani khidmat masyarakat oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku membuang puntung rokok serta botol minuman di tempat awam.
Ini pendakwaan pertama mengikut Seksyen 77A Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Anita Lukman, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Nor Aziati Jaafar.
Wanita itu didakwa membuang puntung rokok dan botol minuman di tempat awam, bukan dalam bekas yang diperuntukkan bagi maksud tersebut di Jalan Ibrahim Sultan, Stulang Laut pada 12.41 tengah malam 1 Jan lalu.
Pertuduhan dikemukakan bawah Subseksyen 77A(1) Akta 672 yang membawa denda maksimum RM2,000 dan sebagai tambahan, boleh dikenakan perintah khidmat masyarakat tidak lebih 12 jam secara agregat dalam tempoh tidak lebih enam bulan sebagaimana dinyatakan dalam perintah mahkamah.
Anita memohon hukuman ringan atas alasan dia ibu tunggal yang menanggung dua anak berusia lapan serta 15 tahun dan hanya datang ke Malaysia untuk membantu rakannya.
Mahkamah menjatuhkan denda RM500 atau penjara 15 hari, jika gagal membayar denda serta memerintahkannya menjalani khidmat masyarakat selama enam jam dengan kadar maksimum dua jam sehari dalam tempoh enam bulan. Jika gagal mematuhi perintah khidmat masyarakat, dia berdepan denda RM2,000 hingga RM10,000.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SWCorp, Siti Adora Rahtimin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Di mahkamah sama, warga Bangladesh, Sultan MD, 28, didakwa membuang puntung rokok di lokasi sama pada 1 Jan lalu.
Tetapi, lelaki itu memohon prosiding dikendalikan dalam Bahasa Bangladesh kerana tidak memahami Bahasa Melayu sebelum mahkamah menetapkan 28 Jan ini untuk sebutan semula kes.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan