"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes culik: 2 ditahan, seorang diburu kes pemerasan, melarikan lelaki warga India

Mary Victoria Dass
Polis sedang mengesan seorang lagi suspek dikenali J Jatheswaran, 30. – Foto ihsan PDRM
ISKANDAR PUTERI: Dua ditahan termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan kes pemerasan dan melarikan seorang lelaki warga India, dengan seorang lagi suspek sedang diburu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan, berkata kejadian berlaku 19 Januari lalu apabila mangsa, 30, dikatakan dibawa keluar individu tidak dikenali dari sebuah bilik hotel di kawasan Gelang Patah kira-kira jam 3 pagi.

Beliau berkata, suspek kemudian menghubungi rakan mangsa kira-kira jam 1 tengah hari meminta bayaran RM5,000 untuk membebaskan lelaki itu, sebelum rakan mangsa mebuat laporan polis.

“Bertindak atas maklumat, pada jam 12.15 tengah malam sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Iskandar Puteri mengesan dan menyelamatkan mangsa di kawasan Gelang Patah.

“Pada 20 Januari pula antara jam lebih kurang 1 hingga 4 pagi pasukan sama membuat tangkapan ke atas seorang lelaki dan seorang perempuan warga tempatan berusia 26 dan 32 tahun di kawasan Permas Jaya.

“Suspek lelaki memiliki rekod jenayah dan dadah serta hasil ujian awal saringan air kencing mendapati kedua-dua mereka positif dadah jenis syabu,” katanya.

Hasil tangkapan itu, beliau berkata polis merampas sebuah kereta, tiga telefon bimbit, sebuah kotak barang kemas, sebuah cincin, seutas rantai leher, tiga beg, sebuah komputer riba dan sebuah fail.

“Semua suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) selama enam hari sehingga esok dan polis sedang mengesan seorang lagi suspek dikenali J Jatheswaran, 30,” katanya.

Berdasarkan siasatan, katanya mangsa diperas ugut kerana menjalinkan hubungan sulit dengan suspek wanita yang ditahan.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik dan Seksyen 384 kanun sama kerana pemerasan.

Tiada ulasan: