Buletin TV3

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan pengarah syarikat direman kerana disyaki terlibat rasuah bagi mengesyor dan melantik syarikat kroni mendapatkan kerja-kerja di tempat pegawai kanan tersebut bekerja.
Perintah reman selama tujuh hari sehingga 29 Januari depan terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Majistret A. Hafiizh Abu Bakar selepas permohonan dibuat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak, pagi tadi.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 40 dan 50-an ditahan kira-kira jam 6.50 petang dan 9.40 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Ipoh, Perak.
“Kedua-dua suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan tersebut sejak tahun 2017 sehingga 2020.
“Siasatan awal turut mendapati suspek yang merupakan pegawai kanan TLDM disyaki memiliki harta melebihi jumlah emolumen yang diterima seperti pemilikan kira-kira lapan aset tak alih terdiri daripada tiga buah rumah, tiga buah rumah kedai dan dua buah hotel yang didaftarkan atas nama beliau,” katanya.
Tambah sumber, siasatan turut mendapati terdapat kemasukan sejumlah wang dari sumber yang diragui bernilai kira-kira RM2 juta ke dalam akaun peribadi dan dua akaun syarikat perhotelan milik pegawai tersebut.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Kes disiasat dibawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan