Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my

KERETA Perodua Kelisa dinaiki tiga pelajar IKM yang terbabit kemalangan di Jalan Selarong Panjang-Sedim. FOTO Ihsan Polis
Kulim: Hasrat tiga pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) untuk mandi di Sungai Sedim berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka maut selepas kereta Perodua Kelisa dinaiki mereka kemalangan di Jalan Selarong Panjang-Sedim, di sini hari ini.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Muhammad Husni Kamal Amir, 23, beralamat di Sungai Petani manakala dua rakannya parah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim Deputi Superintendan Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 3.30 petang tadi.
Beliau berkata, kemalangan berlaku apabila kereta Perodua Myvi yang dipandu wanita berusia 33 tahun bersama dua kanak-kanak perempuan berusia enam dan 10 tahun dari menghala ke Sungai Karangan bertembung dengan kereta Perodua Kelisa dinaiki tiga pelajar terbabit.
"Penumpang hadapan kereta Perodua Kelisa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu berusia 22 tahun dan penumpang di tempat duduk belakang berusia 23 tahun cedera.
"Mereka turut bersama beberapa lagi rakan yang menaiki kenderaan lain dalam perjalanan untuk mandi di Sungai Sedim," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati kereta Perodua Kelisa terbabit hilang kawalan akibat termasuk ke bahu jalan yang tidak berturap sebelum bertembung dengan kereta Perodua Myvi.
"Pemandu kereta Perodua Myvi itu parah di kepala dan patah kaki manakala dua kanak-kanak terbabit masing-masing patah kaki dan tangan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan