Sharifah Mahsinah Abdullah
am@hmetro.com.my
LELAKI warga Malaysia berusia 24 tahun yang disyaki pengedar dadah telah ditahan di pekan Sungai Golok. FOTO Polis Thailand
Sungai Golok: Selepas hampir dua bulan enam rakyat Malaysia termasuk penyanyi dikir barat ditahan, polis Thailand menahan seorang lagi rakyat Malaysia yang dipercayai pengedar dadah dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM120,000.
Suspek berusia 24 tahun itu ditahan pada Isnin lalu dalam satu serbuan di sebuah premis di pekan Sungai Golok pada 6.40 petang.
Ketua Polis Daerah Sungai Golok Kolonel Jadsadavit Ingprapan berkata, dalam serbuan itu sebanyak 1,943 pil ekstasi, 1,510 eramin 5 dan serbuk bernilai lebih RM120,000 berjaya dirampas.
"Kami percaya dadah itu untuk dijual kepada penagih di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, ujian saringan awal air kencing suspek turut dihantar ke Hospital Sungai Golok.
"Pada masa ini, pegawai penyiasat juga mengumpul maklumat daripada saksi, bukti, dan keputusan ujian dadah.
"Suspek akan ditahan di Mahkamah Wilayah Narathiwat.
"Polis Sungai Golok akan terus menguatkuasakan undang-undang yang ketat kepada pesalah jenayah dadah tanpa diskriminasi.
"Kami sudah melakukan beberapa tangkapan bagi kes berkaitan dadah setiap bulan terhadap pesalah dadah yang terdiri daripada warga Thailand dan warga asing," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan