"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suami isteri maut kemalangan di Bukit Putus

Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my
KEADAAN dua kereta yang terbabit kemalangan dekat Jalan Seremban- Kuala Pilah, dekat Bukit Putus, di sini, petang semalam. FOTO Ihsan Polis.
KEADAAN dua kereta yang terbabit kemalangan dekat Jalan Seremban- Kuala Pilah, dekat Bukit Putus, di sini, petang semalam. FOTO Ihsan Polis.
Seremban: Suami isteri maut selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan dengan dua lagi kenderaan dekat Jalan Seremban- Kuala Pilah, dekat Bukit Putus, di sini, lewat petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, mangsa wanita berusia 50 tahun maut di lokasi kejadian manakala suaminya berusia 52 tahun meninggal dunia di hospital.

"Kemalangan jam 6.45 petang itu membabitkan tiga kenderaan di Jalan Seremban- Kuala Pilah menghala ke Seremban.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton Exora yang dipandu seorang lelaki berusia 22 tahun sedang bergerak dari Seremban menuju ke Kuala Pilah.

"Apabila tiba di lokasi kejadian pemandu kereta dipercayai gagal mengawal kenderaannya lalu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar kereta Perodua Kancil dan Perodua Axia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kemudian kesemua kenderaan terbabit terbabas ke penghadang besi sebelah kiri jalan arah ke Seremban.

"Akibat kemalangan ini, mangsa penumpang hadapan kereta Perodua Axia parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Sementara pemandu kereta Perodua Axia yang turut parah di kepala disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini," katanya.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Rembau untuk urusan bedah siasat.

"Pemandu Proton Exora yang ketika itu memandu seorang diri mengalami kecederaan parah dipercayai patah di kedua-dua belah kaki.

"Kesemua pemandu serta penumpang kereta jenis Perodua Kancil hanya mengalami kecederaan ringan," katanya.

Katanya, individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Shahrizan Khairi di talian 019-8461792 atau boleh terus ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Tiada ulasan: