FMT Reporters
ATM berkata kejadian 5 petang itu dapat dikawal tanpa membabitkan pergaduhan atau kecederaaan.
Tangkap layar kekecohan membabitkan warga Palestin di Wisma Transit Kuala Lumpur semalam.
PETALING JAYA: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan berlaku kekecohan membabitkan warga Palestin di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) semalam.
ATM dalam kenyataan, berkata insiden pada 5 petang itu berpunca daripada keinginan warga Palestin terbabit yang mahu proses permohonan kembali ke tanah air mereka dipercepatkan.
Menurutnya, pegawai dan anggota ATM dapat mengawal situasi tanpa membabitkan pergaduhan atau kecederaan menerusi perbincangan diadakan dengan kumpulan terbabit.
“Hanya berlaku sedikit kerosakan terhadap peralatan perabot di WTKL.
“Warga Palestin telah bersurai kira-kira 7.30 petang,” katanya yang turut meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi.
Menerusi video tular di media sosial, sekumpulan warga Palestin berkenaan membuat kerosakan, termasuk membakar cadar bagi meluahkan rasa tidak puas hati.
Ada beberapa penghuni turut berkumpul di lobi WTKL sambil memegang kertas bertulis ‘mogok lapar’.
Oktober lalu, kekecohan turut tercetus di lokasi sama membabitkan warga Palestin yang didakwa kurang berpuas hati kerana tidak dibenarkan keluar untuk menginap di luar premis berkenaan atas faktor keselamatan.
Pada 16 Ogos lalu, seramai 127 warga Palestin dan ahli keluarga tiba di Malaysia dengan menaiki dua pesawat A-400M TUDM.
Daripada jumlah itu, 40 daripadanya adalah pesakit akibat peperangan di Gaza yang datang untuk menerima rawatan di negara ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan