Zaid Salim
bhnews@bh.com.my
Keadaan jalan utama yang runtuh di kawasan pantai di Kampung Tanjong yang mengalami hakisan. - NSTP/ZAID SALIM
KUALA NERUS: Peniaga dan penduduk tinggal di sekitar kawasan pantai di Kampung Tanjong, Batu Rakit di sini, gusar berikutan masalah hakisan yang semakin teruk sehingga beberapa gerai jualan telah dihanyutkan ombak.
Malah, jalan utama di kawasan pantai itu juga dikatakan runtuh akibat dibadai ombak besar hingga setinggi 2.5 meter pada akhir bulan lalu.
Peniaga dari Kampung Mengabang Lekor di sini, Wan Rosniza Wan Deraman, 40, ialah antara mereka yang buntu berdepan masalah hakisan yang didakwa telah berlarutan di jajaran pantai terbabit sejak lebih 10 tahun lalu.
Wan Rosniza yang berniaga makanan di kawasan pantai itu sejak setahun lalu berkata, beliau sudah beberapa kali beralih lokasi jualan disebabkan masalah hakisan berkenaan.
Katanya, beliau terpaksa berpindah ke lokasi lain bagi mengelak gerainya dihanyutkan ombak apabila kawasan tapak niaga mula mengalami hakisan.
"Saya tidak mahu menanggung kerugian besar, justeru mengambil tindakan awal merobohkan gerai sebelum ia dihanyutkan ombak.
"Gerai sekarang pun berkemungkinan tidak lama dan akan berpindah lagi sebab hakisan yang berlaku semakin teruk, malah sudah hampir sangat dengan tapak ini," katanya.
Seorang lagi peniaga, Mazni Bidin, 40, berkata kerajaan sepatutnya mengambil tindakan awal sebaik saja hakisan teruk berlaku di Kampung Tanjung Gelam pada 2015, bagi mengelak masalah itu 'merebak' ke kawasan lain.
"Ketika itu, penduduk menyarankan supaya membina pulau tiruan dan mengelak membina benteng pemecah ombak kerana kaedah itu boleh menyebabkan hakisan terus 'berjangkit' ke kampung lain.
"Namun, kerajaan tidak mengendahkan cadangan itu dan kesannya ialah hakisan menjadi semakin teruk sehingga menyebabkan banyak prasarana, aset penduduk, tanah, pokok dan jeti nelayan musnah termasuk dihanyutkan ke laut.
"Bermula dari Kampung Tanjung Gelam, ia kemudian merebak ke Kampung Kolam, diikuti Kampung Mengabang Telipot, Kampung Pengkalan Maras dan sekarang penduduk Kampung Tanjong pula yang menjadi mangsa," dakwanya.
Tinjauan NSTP di kawasan pantai kampung itu mendapati berlaku runtuhan jalan utama yang dikatakan berlaku sejak akhir bulan lalu.
Tali dan penghadang plastik dilihat dipasang di sepanjang jalan itu untuk tujuan keselamatan, selain mengelak orang ramai menghampiri kawasan hakisan.
Selain jalan, beberapa pokok kelapa juga dilihat tumbang, manakala bangsal dan tempat nelayan berehat serta menaikkan hasil laut didapati runtuh dibadai ombak.
Sebilangan peniaga dan pengusaha ikan kering dikatakan terpaksa menutup perniagaan berikutan keadaan hakisan yang semakin teruk sehingga menghampiri kedai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan