"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Netizen kecam BN Negeri Sembilan, ‘Orang suruh akur kepada Yamtuan, bukan parti’

Harapandaily

Kenyataan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan bahawa 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dan Perikatan Nasional (PN) sepakat mematuhi arahan pucuk pimpinan parti mengundang kritikan pengguna Facebook yang mempersoalkan soal penghormatan terhadap institusi diraja.

Antara komentar yang mendapat perhatian ialah teguran netizen dikenali sebagai Ray GM yang mengingatkan pemimpin BN supaya menghormati Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

“Orang suruh kau akur kepada Yamtuan, bukan kepada parti. Jangan banyak buat drama Umno,” tulisnya di ruangan komen hantaran Facebook Umno Negeri Sembilan.


Seorang lagi pengguna, Fakhrul MJ, turut mempersoalkan keutamaan pemimpin politik yang mengadakan mesyuarat sehingga lewat malam ketika kemelut pentadbiran negeri masih belum selesai.

“Cuba guna tenaga yang sama untuk bantu rakyat. Ada juga manfaatnya. Ni tak, tang nak rebut kuasa, pukul 12 malam pun sanggup bercengkang mata,” katanya.

Mohd Irwan Wahid pula membangkitkan persoalan mengenai prinsip kesetiaan kepada raja dan negara sambil mengingatkan kepimpinan BN supaya menghormati kedudukan Tuanku Muhriz.

“Mana cogan kata kesetiaan pada raja dan negara?” soalnya, manakala pengguna lain dikenali sebagai William turut mempersoalkan pendirian BN yang menurutnya sebelum ini menyatakan tidak mahu campur tangan.

Sementara itu, Akmal Hafiz, pula menyatakan sokongan kepada institusi diraja menerusi komentar ringkas, “Daulat Tuanku Muhriz.”

Tengah malam

Kritikan berkenaan menyusuli kenyataan media Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan, tengah malam tadi yang memaklumkan pertemuan khas 22 daripada keseluruhan 25 ADUN BN dan PN di Wisma Umno Negeri Sembilan, Seremban.

Menurut kenyataan itu, Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, tidak menghadiri mesyuarat berkenaan, manakala dua lagi ADUN yang berada di luar negara menyatakan sokongan penuh terhadap apa juga keputusan mesyuarat.

“Dalam perjumpaan khas ini, kesemua ADUN telah mencapai kata sepakat untuk akur dan patuh atas apa jua arahan pucuk pimpinan dan ketetapan parti termasuk ADUN-ADUN daripada Parti Perikatan Nasional,” menurut kenyataan tersebut.

BN menjelaskan bahawa kesepakatan itu bertujuan memastikan kemelut politik yang melanda Negeri Sembilan dapat diselesaikan segera demi kestabilan dan kemakmuran rakyat negeri berkenaan.

Terdahulu, Tuanku Muhriz menitahkan Ismail meneruskan tugas sebagai Menteri Besar bagi memastikan kesinambungan pentadbiran negeri, sementara pihak Istana turut menegaskan beliau perlu membuktikan sokongan majoriti ADUN untuk terus memegang jawatan tersebut.

Tiada ulasan: