"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kit Siang: Anwar akan jadi antara PM paling lama

Malaysiakini

Ahli politik veteran Lim Kit Siang meramalkan Anwar Ibrahim akan menjadi salah seorang perdana menteri paling lama dalam sejarah Malaysia.

Katanya, pentadbiran Anwar kini lebih lama berbanding tiga perdana menteri terdahulu–Ismail Sabri Yaakob, Muhyiddin Yassin dan Mahathir Mohamad (kali kedua).

“Namun, Anwar bukan sahaja telah berkhidmat lebih lama daripada tiga daripada lima perdana menteri dalam enam tahun yang lalu, dia sedang menuju untuk menjadi salah satu perdana menteri terpanjang dalam sejarah Malaysia,” katanya.

Bekas pemimpin kanan DAP itu berkata demikian dalam majlis sebuah persatuan keturunan Cina di Batu Pahat, Johor, semalam.

Teks ucapan itu dikongsi dengan pihak media hari ini.

Lim bagaimanapun mengingatkan bahawa Anwar akan berdepan ujian getir bagi membuktikan petikan yang sering diulang dalam ucapannya berkaitan keterangkuman.

Petikan itu ialah “Wo men dou shi yi jia ren” (kita semua satu keluarga) dan “Melayu anak saya, Cina anak saya, India anak saya, Kadazan anak saya, Dayak anak saya”.

Katanya, jika Malaysia ingin bangkit semula untuk menjadi negara hebat, kita mesti kembali kepada perlembagaan dan Rukun Negara, yang menekankan kemajmukan masyarakat dan pentingnya “kesatuan dalam kepelbagaian”.

“Malaysia hampir dikenali di seluruh dunia sebagai negara kleptokratik. 

“Kita mahu terkenal di dunia kerana kesatuan dan harmoni pelbagai kaum dan budaya serta kejayaan yang dapat kita capai daripada kesatuan dan harmoni tersebut,” katanya.

Lim mengingatkan bahawa Malaysia adalah rumah kepada Islam, Konfusianisme, Buddhisme, Hindu, Kristian, Taoisme dan Sikhisme. 

“Kita boleh dan mesti menyumbang kepada fasa baru kemanusiaan, semua lelaki dan wanita membangunkan bukan sahaja pemikiran kebangsaan tetapi juga pemikiran global.

“Kita boleh memulakan dengan sederhana dengan mempromosikan dialog dan harmoni tamadun global,” katanya.

Sementara itu, mengulas kemenangan BN—sekutu Pakatan Harapan (PH)—dalam pilihan raya Mahkota, Sabtu lalu, Lim berkata ia menunjukkan rakyat Malaysia mahukan kestabilan.

Ia juga, katanya, menunjukkan berakhirnya Gelombang Hijau, yang “ekstremisme, kebencian, pembohongan, maklumat salah dan disinformasi menguasai keadaan”.

Tiada ulasan: