"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Heboh dakwaan budak disembelih jiran, ini cerita sebenar, rupanya pelaku pelajar universiti

Harapandaily

Heboh di media sosial sejak semalam kononnya wujud kes seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun disembelih oleh jirannya di Kuantan, Pahang.

Bagaimanapun, menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, kejadian hanya membabitkan kecederaan pada leher kanak-kanak itu akibat perbuatan jirannya, seorang lelaki berusia 25 tahun yang mempunyai pertalian keluarga.

Menerusi kenyataan hari ini, beliau memaklumkan mengikut laporan, pihaknya menerima maklumat awal daripada orang awam melalui Pusat Kawalan Daerah (DCC) Kuantan pada jam 7.45 malam semalam yang memaklumkan berlaku pergaduhan membabitkan senjata sehingga ada yang tercedera.

“Susulan itu, sepasukan polis dari Balai Polis Jaya Gading diarahkan ke lokasi kejadian.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian membabitkan seorang kanak-kanak dan lelaki dewasa yang mempunyai pertalian saudara.

“Mangsa dicederakan oleh individu berusia 25 tahun menggunakan garfu di bahagian leher. Akibat kecederaan itu, mangsa melarikan diri ke rumah jirannya.

“Ini menyebabkan berlaku kekecohan antara jiran dan individu yang mencederakan kanak-kanak itu,” jelasnya.

Menurutnya, mangsa dan individu terbabit kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di Kuantan, untuk menerima rawatan dan disahkan tidak mengalami kecederaan serius selain dirawat sebagai pesakit luar.

Wan Mohd Zahari berkata, berdasarkan keterangan ahli keluarga mangsa, individu berusia 25 tahun itu yang juga pelajar sebuah universiti awam itu mengalami tekanan perasaan sejak beberapa hari lalu.

“Suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan ujian air kencing juga negatif daripada salah guna dadah. Siasatan lanjut dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuantan.

“Dalam kes ini, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi di media sosial yang boleh mendatangkan kegusaran dan ketakutan kepada masyarakat,” tambahnya lagi.

Tiada ulasan: