Hidir Reduan Abdul Rashid
Beberapa ibu bapa memperoleh perintah sementara daripada mahkamah mengarahkan pendakwah Firdaus Wong memadam video TikTok yang didakwa mengandungi nasihat berhubung penukaran agama rahsia melibatkan kanak-kanak bawah umur.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan lapan plaintif untuk perintah injunksi ex-parte (proses tanpa kehadiran defendan) bagi mengekalkan status quo dalam saman yang sedang berjalan.
Peguam pihak ibu bapa, M Visvanathan mengesahkan kepada Malaysiakini mengenai keputusan Hakim Amarjeet Singh mengeluarkan perintah tersebut pada pagi ini.
Menurut peguam itu, mereka kini sedang dalam proses menyerahkan salinan perintah sekatan berkenaan kepada Firdaus hari ini.
"Mahkamah (sivil) menetapkan 17 Oktober untuk pendengaran inter parte," kata Visvanathan merujuk prosiding Firdaus akan diberi peluang untuk berhujah menentang perintah injunksi tersebut.
Mahkamah masih belum menetapkan tarikh bagi perbicaraan penuh mengenai merit saman asal, yang difailkan pada 18 Julai.
Menurut salinan afidavit sokongan, seorang bapa berkata dia "amat resah dan takut" serta bimbang menghantar anak-anak mereka ke sekolah.
"Saya turut menegaskan bahawa ini adalah disebabkan oleh terdapatnya risiko bahawa anak-anak di bawah umur kami boleh ditukarkan agama tanpa sebarang pengetahuan kami sebagai ibu bapa kepada anak-anak bukan Islam di bawah umur," kata bapa tersebut pada afidavit yang dilihat Malaysiakini.
Bapa tersebut berpendapat kegagalan untuk mencegah penukaran agama rahsia ini boleh membahayakan anak-anak mereka secara fizikal dan mental.
Dia mendakwa menukar agama secara rahsia boleh menggugat keamanan dan keharmonian negara, serta merosakkan perpaduan antara rakyat Malaysia.
Melalui saman tersebut, para ibu bapa berkenaan memohon perintah injunksi bagi menghalang Firdaus daripada mengajak atau menasihati kanak-kanak bukan Islam bawah umur untuk menukar agama mereka.
Plaintif juga memohon perintah mahkamah untuk memaksa defendan memadam video TikTok kontroversi tersebut.
Pada bulan Jun lalu, Firdaus didakwa memuat naik video di TikTok yang menunjukkan dia menasihati seorang lelaki tentang cara mengendalikan permintaan untuk memeluk Islam daripada beberapa remaja.
Video dalam talian tersebut dikatakan menunjukkan penceramah kontroversi itu terlibat dalam sesi soal jawab semasa satu acara.
Terdapat salah faham yang mengaitkan sesi soal jawab itu dengan nasihat Firdaus kepada seorang guru, yang menimbulkan kebimbangan di kalangan bukan Islam mengenai anak-anak remaja mereka di sekolah kebangsaan, sehingga ada seruan untuk melarang Firdaus memasuki sekolah.
Namun, sesi soal jawab tersebut tidak melibatkan seorang guru tetapi seorang penulis dan influencer TikTok.
Firdaus didakwa ditanya apa yang harus dilakukan apabila remaja bukan Islam bawah umur ingin memeluk Islam.
Firdaus dikatakan berkata remaja itu harus disambut untuk memeluk Islam, tetapi penukaran agama mereka tidak boleh didaftarkan atau diumumkan.
Dia juga didakwa berkongsi nasihat tentang cara remaja tersebut boleh mengamalkan Islam secara rahsia supaya mereka boleh menyembunyikannya daripada orang lain, termasuk ibu bapa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan