Agensi
New Delhi: Selepas 30 tahun menyimpan rahsia, seorang lelaki dari Girlodpur di daerah Hathras, Uttar Pradesh mendedahkan pembunuhan bapanya yang dilakukan dua abang kandungnya sendiri, lapor portal Deccan Herald.
Panjabi Singh, 39, berjumpa polis dan melaporkan bahawa dua abangnya membunuh bapa mereka, Buddh Singh dan mengebumikan mayatnya di halaman rumah.
Lelaki itu juga memberitahu polis, ketika kejadian itu dia diugut oleh kedua-dua abangnya terbabit supaya tidak memaklumkan pembunuhan itu kepada sesiapa sahaja.
Panjabi Singh yang berusia sembilan tahun ketika kejadian tidak dapat mengingati tarikh bapanya dibunuh, namun masih mengingati tahun pembunuhan itu berlaku, iaitu 1994.
Dia juga memberitahu polis bahawa masih mengingati lokasi mayat bapanya dikebumikan.
Sepasukan polis di Hathras menggali satu lokasi di halaman rumah keluarga itu dan selepas kedalaman lima meter (m), satu rangka ditemukan di situ, kata sumber kepada Deccan Herald.
Polis berkata, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) akan dijalankan untuk mengesahkan mayat Buddh Singh.
"Kami sedang menyiasat perkara itu,'" kata seorang pegawai kanan polis pada Jumaat.
-hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan