"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dua wanita Palestin buat kecoh di Wisma Transit akan dihantar pulang segera - Duta

Kalbana Perimbanayagam
bhnews@bh.com.my
TANGKAP layar video tular membabitkan kejadian dua wanita warga Palestin membuat kekecohan di Wisma Transit.
TANGKAP layar video tular membabitkan kejadian dua wanita warga Palestin membuat kekecohan di Wisma Transit.
KUALA LUMPUR: Dua wanita Palestin yang membuat kekecohan dan merosakkan harta benda awam di Wisma Transit seperti yang tular dalam media sosial akan dihantar pulang ke Gaza dalam masa terdekat.

Mereka berdua adalah sebahagian daripada 127 orang awam Palestin yang di bawa ke negara ini pada 16 Ogos untuk menerima rawatan perubatan berikutan serangan Israel ke atas Gaza.

Wanita itu dikesan berkelakuan tidak terkawal di Wisma Transit, lokasi penduduk Palestin yang cedera dan keluarga mereka ditempatkan ketika tempoh rawatan perubatan diberikan.

Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali mengesahkan kepada New Straits Times wanita dalam video itu akan dihantar pulang ke Gaza.

Katanya, ia diputuskan selepas pertemuannya dengan Kementerian Pertahanan dan wakil Ops Ihsan hari ini bagi membincangkan insiden itu.

"Kami bersetuju bahawa ini adalah insiden terpencil. Ia tidak mewakili rakyat Palestin tetapi tindakan itu sangat memalukan dan tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Walid turut memberi amaran kepada rakyat Palestin di Malaysia yang lain supaya menjaga kelakuan mereka.

"Bagi mereka di sini, jika mereka tidak berpuas hati, mereka boleh kembali ke tempat asal mereka. Menghantar wanita ini pulang harus menjadi pengajaran kepada yang lain," katanya.

Katanya, kerajaan Palestin sangat menghargai bantuan yang dihulurkan kepada mereka oleh Malaysia dan rakyatnya.

"Rakyat Palestin yang cedera dan saudara mereka di sini harus menghargai apa yang kerajaan Malaysia lakukan untuk membantu mereka.

" Semasa mereka berada di sini, mereka mesti menghormati undang-undang tuan rumah. Mereka juga harus menghargai peluang yang diberikan kepada mereka, berbanding ribuan lain yang masih menderita di tanah air di Gaza. Mereka di sana tidak mempunyai bantuan seperti ini," katanya.

Walid turut mengecam kejadian itu malah memohon maaf bagi pihak masyarakat Palestin.

Katanya, kejadian itu juga diperbesar-besarkan oleh sesetengah pihak di media sosial namun berjaya diselesaikan serta ditangani pada hari yang sama.

Duta itu juga meminta rakyat Malaysia memahami perjuangan emosi dan tekanan yang dialami oleh rakyat Palestin.

"Kami meminta rakyat Malaysia memahami bahawa mereka ini melalui kesukaran yang tidak pernah berlaku sebelum ini, mengakibatkan tekanan dari segi emosi dan fizikal akibat tindakan pembunuhan beramai-ramai oleh Israel.

"Saya tidak akan membenarkan sesiapa menjejaskan hubungan baik dua hala antara Malaysia dan Palestin. Kami akan sentiasa menghargai apa juga usaha yang dilakukan Malaysia untuk rakyat Palestin," katanya.

Pada 4 Ogos, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu Perhimpunan Solidariti Palestin di Bukit Jalil, mengumumkan Malaysia memutuskan untuk membawa orang awam Palestin yang cedera mendapatkan rawatan di Malaysia.

Pada 16 Ogos lalu, dua pesawat Airbus A-400M Tentera Udara Diraja Malaysia menerbangkan 127 orang awam Palestin yang cedera dari Mesir ke Pangkalan Udara TUDM Subang.

Rakyat Palestin yang dibawa itu termasuklah 41 lelaki, wanita dan kanak-kanak yang cedera, termasuklah bayi seawal usia lapan bulan, serta saudara-mara mereka.

TANGKAP layar video tular membabitkan kejadian dua wanita warga Palestin membuat kekecohan di Wisma Transit.

Tiada ulasan: