"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warga emas hilang disahkan dibunuh, dicampak ke sungai

FMT Reporters

Polis berkata susulan siasatan orang hilang membawa kepada pengakuan dua lelaki membunuh mangsa.

Ketua Polis Kedah Fisol Salleh, berkata mayat individu dilaporkan hilang itu masih tidak dijumpai selepas dicampak ke Sungai Padang Terap, Jitra, Kedah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Lelaki hilang sejak 4 Sept disahkan dibunuh dengan tangan diikat dan mulut ditutup pita pelekat sebelum dicampak ke Sungai Padang Terap, Jitra, Kedah.

Mayat Sabari Baharom, 62, bagaimanapun sehingga kini masih gagal dijumpai.

Ketua Polis Kedah Fisol Salleh, berkata pada 27 Sept pihaknya berjaya mengesan dan menangkap dua lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun disyaki dapat membantu siasatan kes kehilangan individu itu.

Hasil soal siasat dijalankan, pengakuan telah dibuat kedua-dua suspek bahawa mangsa iaitu orang hilang telah dicampak ke dalam Sungai Padang Terap, dengan tangan diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat, katanya dalam kenyataan.

Katanya, susulan itu kes orang hilang berjaya diselesaikan dan siasatan dilanjutkan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Sehingga kini mangsa masih gagal dijumpai dan usaha mencari mangsa masih diteruskan oleh polis dengan bantuan agensi berkaitan, katanya.

Fisol berkata, polis telah memaklumkan perkembangan siasatan kepada pihak keluarga mangsa.

Berita Harian melaporkan, kehilangan Sabari menimbulkan misteri oleh ahli keluarganya apabila kereta Proton Waja milik mangsa ditemui dibakar di kawasan pembuangan sampah di gaung Hutan Gubir, Sik, namun mangsa dilaporkan tiada di tempat kejadian.

Berikutan itu, ahli keluarga mangsa mengesyaki Sabari dilarikan individu tidak dikenali berikutan berlaku beberapa transaksi pemindahan wang dari akaun Tabung Haji lelaki itu ke akaun bank orang lain dalam tempoh dua hari selepas kehilangannya.

Tiada ulasan: