Tak mahu salam dengan menteri, AMANAH Kedah akan siasat, henti buli siber
Harapandaily
AMANAH Kedah menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menghentikan serangan buli siber terhadap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MADA Corp susulan tidak bersalaman dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Pengarah Komunikasinya, Firdaus Shater berkata, AMANAH Kedah akan menyiasat insiden tersebut bagi mendapatkan “cerita sebenar” dari beberapa pegawai di lokasi serta dari CEO MADA Corp terbabit.
Dalam masa sama, beliau berpendapat, keengganan CEO berkenaan memperlihatkan tindakan tidak profesional serta tidak selari dengan etika profesionalisme yang mengutamakan sikap hormat-menghormati, kerjasama, dan komunikasi yang beradab.
Malah, jelasnya, ia juga bertentangan dengan nilai-nilai Islam yang menuntut penghormatan dan adab terhadap pemimpin serta sesama insan.
“Sebarang bentuk tindakan yang memperlekehkan atau tidak menghormati pemimpin, apatah lagi secara terbuka, adalah satu perbuatan yang tidak sesuai dengan ajaran Islam yang menganjurkan sikap hormat dan adab.
“Islam menekankan peri pentingnya menjaga lisan, beradab dalam pergaulan, dan memelihara hubungan baik sesama manusia, terutama sekali terhadap mereka yang diberi amanah untuk memimpin,” katanya menurut kenyataan.
Tular sedutan video memaparkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MADA Corp, Abdullah Ismail tidak bersalaman dengan Mohamad yang turun melawat kawasan sawah yang terjejas akibat bencana banjir di kawasan seliaan MADA.
Abdullah yang menyilangkan tangan di belakang dilihat tidak menyambut salam daripada menteri berkenaan.
Malah, dia yang dilantik sebagai CEO MADA Corp pada Mei 2022 itu berundur selangkah ketika Mohamad menghulurkan tangan untuk bersalaman sekaligus mengundang kecaman orang ramai kerana dilihat amat biadab.
Untuk rekod, susulan lawatan rasmi itu, Mohamad mengumumkan bantuan melalui Tabung Bencana Tanaman Padi bermula RM876 hingga RM1,800 per hektar dengan jumlah maksimum bantuan sebanyak tiga hektar bagi satu musim penanaman.
Ucapan tahniah warga MADA Corp kepada Abdullah atas pelantikan sebagai CEO pada Mei 2022.
Mengulas lanjut Firdaus berkata, perbezaan ideologi politik seharusnya tidak menjadi penghalang untuk saling menghormati terutamanya dalam kalangan Melayu Islam.
Sehubungan itu, katanya, AMANAH Kedah mengharapkan agar insiden tersebut tidak berulang lagi pada masa hadapan.
“Sebagai sesama Muslim, marilah kita memaafkan sekiranya terdapat kekhilafan dan berusaha untuk bersangka baik.
“Akhlak yang terpuji adalah cerminan daripada ajaran Islam, yang merupakan rahmat untuk sekelian alam.
“AMANAH Kedah menyeru semua pihak untuk mengutamakan perpaduan dan keharmonian negara Malaysia yang kita cintai ini,” kata Firdaus lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan