"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pelajar Tingkatan Satu maut terjatuh dari tingkat lapan bangunan sekolah

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu maut selepas dikatakan terjatuh dari tingkat lapan bangunan sebuah sekolah di Jalan Syed Putra, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu daripada orang awam jam 6.59 petang, semalam.

"Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat lapan bangunan sekolah berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Hasil siasatan juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ku Mashariman berkata, mayat mangsa dirujuk ke Bahagian Forensik dan Patologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi sehingga menimbulkan kegusaran masyarakat dan menghentikan penularan kejadian itu di media sosial.

"Orang awam yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, pihak pengurusan sekolah berkenaan dalam kenyataan di laman sesawangnya, hari ini, mengesahkan kejadian terbabit.

Pihak pengurusan sekolah itu juga memaklumkan kaunselor akan terus memberikan sokongan psikologi dan emosi kepada pelajar lain yang terkesan dengan kejadian berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, pelajar berusia 13 tahun itu dikatakan sempat memuat naik video ucapan terima kasih kepada rakan baiknya di media sosial.

Tiada ulasan: