"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

3 sekeluarga mengalami detik cemas, rumah dimasuki hampir 12 orang penyamun berparang

Norzamira Che Noh
am@hmetro.com.my
TANGKAP layar video tular kejadian rompak di sebuah rumah di Pandamaran, Klang. FOTO Video Tular
TANGKAP layar video tular kejadian rompak di sebuah rumah di Pandamaran, Klang. FOTO Video Tular
Shah Alam: Sebuah keluarga kerugian RM600,000 selepas rumah mereka di Pandamaran, Klang dekat sini dimasuki kumpulan penjenayah bersenjatakan parang dalam kejadian pada awal pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata dalam kejadian itu, seorang daripada tiga penghuni rumah iaitu lelaki berusia 37 tahun cedera di bahu akibat ditetak oleh penyamun.

Katanya, mangsa membuat laporan berhubung rumahnya dipecah masuk beberapa lelaki itu pada jam 6.16 pagi.

"Hasil siasatan dalam kejadian pada jam 5 pagi itu, seramai 10 hingga 12 orang suspek dipercayai warga tempatan menaiki dua kenderaan memanjat tembok pagar rumah banglo tiga tingkat itu sebelum masuk ke dalam rumah.

"Kesemua suspek yang memakai pelitup muka, bersarung tangan dan bersenjatakan parang kemudian memasuki sebuah bilik dan mengikat tiga penghuni rumah itu sebelum menggeledah barangan.

"Semasa kejadian, seorang penghuni berjaya menelefon polis. Sebaik sahaja kereta peronda tiba di lokasi, kesemua suspek terus melarikan diri bersama dua kenderaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil semakan suspek berjaya melarikan wang tunai, patung sembahyang dan barang kemas bernilai RM600,000.

"Dalam kejadian ini, seorang penghuni berusia 37 tahun ditetak di bahu dan menerima jahitan di sebuah hospital swasta di Klang," katanya.

Katanya, susulan kejadian itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebat.

"Kini pihak polis sedang menggiatkan usaha mengesan serta menangkap suspek kes ini," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh hadir ke balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan," katanya.

Tiada ulasan: