"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sikap berpuak dalam parti Bersatu, parah

Puak adalah barah dalam penyatuan parti, kata sekutu Azmin

B Nantha Kumar

Calon ketua pemuda Pemuda Bersatu Muhammad Hilman Idham berkata bahawa dia tidak mewakili mana-mana puak dalam pemilihan parti itu.

Hilman yang dikenali sebagai sekutu naib presiden Mohamed Azmin Ali - termasuk ketika masih bersama PKR - menegaskan bahawa kewujudan ‘puak’ dalam sesebuah parti akan menyukarkan penyatuan.

"Sebagaimana yang saya tegaskan, kita merasakan bahawa puak dan factionalism ini adalah barah yang tak akan membantu usaha penyatuan parti.

"Kita mahu mengukuhkan parti ini selaras dengan idealisme perjuangan Bersatu yang telah pun kita tegaskan mesti menjadi sebuah parti inklusif, progresif dan prihatin," katanya kepada pemberita.

Hilman berkata demikian di majlis pengenalan sebahagian calon-calon bertanding pada pemilihan Bersatu di Petaling Jaya, malam tadi.

Dia berkata demikian ketika ditanya adakah pengumuman calon-calon semalam itu diketuai oleh Hilman mewakili pasukan Mohamed Azmin.

"Saya ingat Datuk Seri Azmin tidak hadir. Saya penyokong (Azmin). Tapi, jangan salahkan kawan-kawan yang lain datang hari ini. Ada yang datang dari Pagoh (kawasan parlimen Muhyiddin Yassin). Ada yang penyokong Wan Saiful (Wan Jan) datang.

"Azmin tak tanding. Macam saya tegaskan mengapa kita harus berpuak-puak dalam parti.

"Kita harus menggariskan nilai bersatu sebagaimana namanya dan hari ini pemuda melalui Armada kami tuntas berpegang teguh kepada prinsip-prinsip parti," katanya.

Terdahulu, dalam majlis malam tadi, Hilman mengesahkan dia akan bertanding bagi jawatan ketua Pemuda dalam saingan satu lawan satu menentang Akmal Zahin Zainal Zahir.

Selain, Hilman majlis itu turut memperkenalkan calon-calon bagi jawatan lain bagi sayap Pemuda, Wanita, Bersekutu dan majlis pimpinan tertinggi.

Senarai yang dikeluarkan Bersatu semalam mengesahkan Muhyiddin Yassin mempertahankan jawatan presiden tanpa bertanding.

Hamzah Zainudin yang juga Ahli Parlimen Larut pula menjadi satu-satunya calon untuk menggantikan Ahmad Faizal Azumu sebagai timbalan Muhyiddin.

Sementara Ahmad Faizal 'turun pangkat' sedikit pada pemilihan kali ini dengan mencuba nasib untuk mengisi tiga jawatan naib presiden parti terbabit.

Dua lagi nama yang bertanding untuk jawatan naib presiden ialah penyandang, Radzi Jidin Dan Ronald Kiandee. Selain Ahmad Faizal, Radzi dan Ronald, turut menyertai persaingan sebagai pemimpin pelapis untuk Bersatu ialah Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris, Mohd Rafiq Mohd Abdullah (Adun Kuang di Selangor) serta A'ziss Zainal Abidin (Bersatu Batu Kawan).

Seorang lagi naib presiden, Azmin Ali tidak menyertai pemilihan kali ini, dipercayai bakal dilantik sebagai setiausaha agung menggantikan Hamzah.

Tiada ulasan: