"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Syed Saddiq: 'Saya disesatkan beberapa pihak dan percaya ia disebabkan Habibul Rahman'

Suraya Roslan
surayaroslan@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kes saman fitnah oleh bekas penasihat kepada Datuk Seri Najib Razak, Datuk Habibul Rahman Kadir Shah terhadap Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selesai apabila Ahli Parlimen Muar itu membuat permohonan maaf secara terbuka di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Syed Saddiq, 31, ketika membacakan pernyataan maaf itu berkata, dengan ikhlas hati beliau memohon maaf secara terbuka dan tanpa syarat kepada Habibul Rahman, 68, selaku plaintif kerana membuat kenyataan fitnah dalam sidang media di Hotel Seri Pacific pada 2 Oktober 2017.

"Dalam sidang media itu, saya merujuk kepada ancaman yang dibuat terhadap diri saya dan keluarga menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 dan menegaskan bahawa ancaman itu benar-benar berlaku terhadap saya dan keluarga.

"Namun begitu, saya kemudiannya menerima maklumat lanjut dan kini menyedari bahawa ketika membuat kenyataan fitnah itu, saya disesatkan oleh beberapa pihak yang menyebabkan saya percaya bahawa apa yang saya alami pada tempoh itu adalah disebabkan oleh Habibul Rahman," katanya ketika membacakan pernyataan maaf itu di hadapan Hakim Norakhmar Mohd Sani.

Syed Saddiq selaku defendan berkata, dia kesal dan memohon maaf atas kenyataan fitnahnya sehingga menyebabkan pelbagai masalah dan kesulitan kepada plaintif.

"Saya mengakui bahawa kenyataan saya mencemarkan reputasi plaintif dan merosakkan imej terhormat seorang individu yang pernah berkhidmat sebagai penasihat kepada Perdana Menteri keenam, memegang pelbagai jawatan pengarah dalam syarikat berkaitan kerajaan, pengasas HKS Consultants Sdn Bhd, seorang pakar strategi korporat dan juga pensyarah," katanya.

Akuinya, kenyataan fitnahnya mengenai Habibul Rahman timbul daripada maklumat yang mengelirukan yang disampaikan kepadanya tetapi kini beliau tahu maklumat itu adalah palsu dan tidak benar.

"Saya dengan setulus hati memohon maaf tanpa syarat kepada Habibul Rahman dengan harapan permohonan maaf ini dapat membersihkan nama baik beliau serta dapat memulihkan hubungan profesional dan hubungan peribadi di antara saya dan Habibul Rahman.

"Saya beraku janji bahawa saya tidak akan sama sekali mengulangi kenyataan fitnah dan menyinggung atau apa-apa kata kesat yang seakan-akan dengannya pada masa hadapan terhadap Habibul Rahman," katanya.

Syed Saddiq membaca pernyataan maaf di hadapan Habibul Rahman dalam kandang saksi.

Mahkamah kemudian merekodkan penghakiman persetujuan itu berdasarkan permohonan maaf defendan dan terma penyelesaian serta melapangkan tarikh perbicaraan esok.

Mahkamah sebelum ini menetapkan empat hari bermula 1 Oktober lalu untuk perbicaraan kes itu.

Terdahulu, peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos yang mewakili Habibul Rahman memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak-pihak terbabit mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes saman secara baik dan defendan akan membuat permohonan maaf kepada plaintif di mahkamah terbuka.

Pada 16 November 2021, Habibul Rahman memfailkan saman terhadap Syed Saddiq atas dakwaan memfitnah plaintif dalam satu sidang media yang dihadiri oleh pengamal media daripada pelbagai agensi berita.

Dalam sidang media itu, Syed Saddiq mendakwa terdapat konspirasi yang disokong oleh pemimpin parti yang tidak dinamakan untuk melemahkan Bersatu dengan 'mengancam atau merasuah' pemimpinnya.

Plaintif mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau merancang, mengugut dan menyerang secara peribadi para pemimpin pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk Syed Saddiq yang ketika itu Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) kepada parti berkenaan.

Sementara itu, Habibul Rahman ketika ditemui selepas prosiding berkata, beliau berterima kasih kepada peguamnya kerana mengendalikan kes itu dengan baik dan akhirnya kebenaran dapat dibuktikan.

Tiada ulasan: