FMT Reporters
Kebakaran melibatkan empat rumah dengan mangsa berusia antara setahun hingga 14 tahun.
Bomba menemukan lima mangsa rentung dalam kejadian di perumahan setinggan di Likas, Sabah.
PETALING JAYA: Bayi berusia setahun antara lima ditemukan rentung dalam kebakaran rumah di kawasan setinggan di Jalan Lembaga Padi, Lorong Burung Keleto, Likas, Sabah.
Turut terbunuh, dua kakak kepada bayi itu, masing-masing berusia tiga dan empat tahun, manakala dua lagi anak keluarga jiran yang juga adik-beradik, berusia tiga tahun dan kakaknya, 14 tahun.
Ketua Polis Kota Kinabalu, Kasim Muda, berkata kebakaran dilaporkan bermula kira-kira 12.40 tengah hari membabitkan empat rumah dan sebuah gerai.
Katanya, mangsa ditemui rentung dalam bilik mandi salah sebuah rumah yang terbakar dalam kejadian itu.
Setakat ini, bomba sedang menjalankan kerja membawa keluar mayat mangsa yang rentung. Polis mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut, katanya menurut Harian Metro.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Bomba Sabah, Farhan Sufyan Borhan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.47 tengah hari.
Katanya, sepasukan 35 pegawai dan anggota bersama jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.
Katanya, operasi pemadaman dijalankan Balai Bomba Lintas dan dibantu anggota dari Kota Kinabalu, Tuaran, dan Putatan.
Operasi terkawal pada 1.29 tengah hari dan pasukan bomba masih lagi memadam bara api dan mendapatkan maklumat terperinci berkaitan mangsa terlibat, katanya.
Farhan berkata, semua mangsa sudah dikeluarkan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya, sambil menyatakan punca dan jumlah kerugian masih disiasat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan