"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Gagal melepasi palang tol, lelaki bertumbuk dengan penjaga tol

Omar Ahmad
bhnews@bh.com.my
Tangkap layar video tular dua lelaki bergaduh di Plaza Tol Perling. -Foto tular
Tangkap layar video tular dua lelaki bergaduh di Plaza Tol Perling. -Foto tular
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki bertumbuk dengan penjaga tol di Plaza Tol Perling, di sini, akibat tidak berpuas hati kerana 'Touch n Go' (TnG) yang berada dalam kad pengenalannya tidak dapat digunakan hingga dia gagal melepasi palang tol.

Video pergaduhan yang tular di laman sosial X berdurasi dua minit 19 saat itu memaparkan kedua-dua individu terbabit saling bertumbuk sebelum ditenangkan orang awam yang melalui plaza tol berkenaan.

Ketua Polis daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, mengesahkan pihaknya menerima laporan polis daripada kedua-dua lelaki warga tempatan berusia 30-an itu pada jam 10.11 pagi semalam.

"Siasatan polis mendapati kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 1.15 petang kelmarin di Plaza Tol Perling menghala ke Iskandar Puteri.

"Seorang lelaki tempatan berumur 35 tahun mendekati penjaga tol kerana tidak puas hati apabila TnG melalui kad pengenalannya tidak dapat digunakan, walaupun terdapat baki wang mencukupi untuk melepasi palang tol.

"Perselisihan faham berlaku antara penjaga tol dengan lelaki itu hingga membawa kepada pergelutan antara mereka.

"Orang ramai yang berada di lokasi kejadian membantu meleraikan pergaduhan itu yang menyebabkan kedua-dua lelaki terbabit mengalami kecederaan ringan di bahagian badan dan muka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana melakukan gaduh gempar, yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Tiada ulasan: