FMT Reporters
Tertuduh merayu jaminan rendah kerana perlu menanggung isteri tidak bekerja dan tiga anak masih bersekolah serta anak bongsu tujuh bulan.
PETALING JAYA: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tiri perempuannya berusia 12 tahun.
Sinar Harian melaporkan lelaki 39 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah Nyalas, Jasin antara 10.30 malam hingga 11 malam 26 Sept lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Terhadap Kanak-kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Sebagai tambahan, dia boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan tidak kurang dua sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Syazwanie Marizan tidak mencadangkan jaminan kepada tertuduh yang juga bapa tiri mangsa.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah kerana perlu mencari nafkah menanggung isteri tidak bekerja dan tiga anak masih bersekolah serta anak bongsu baru berusia tujuh bulan.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 14 Nov ini sebutan semula kes serta lantikan peguam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan