PETALING JAYA: Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz menjelaskan Presiden Muhyiddin Yassin tidak sepatutnya berdepan sebarang tindakan tatatertib susulan dakwaannya bahawa Bersatu dan PAS bersetuju memansuhkan jawatan pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Tun Faisal berkata, aduan tatatertib terhadap Muhyiddin, yang meletak jawatan sebagai pengerusi PN pada 1 Jan adalah tidak berasas serta mengelirukan, dan berpunca daripada kegagalan memahami perlembagaan parti serta proses tadbir urus gabungan politik.
Dalam hantaran di Facebook, beliau berkata aduan berkenaan yang berdasarkan dokumen dalaman yang bocor, telah diambil di luar konteks, dan tidak boleh dijadikan asas kepada tuduhan berbohong atau salah laku.
Beliau berkata, perlembagaan Bersatu memberikan kuasa eksekutif kepada presiden mengadakan rundingan dengan pemimpin parti lain tanpa memerlukan kelulusan awal daripada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT). Katanya, perbincangan dengan PAS hanyalah rundingan awal yang hanya boleh dimuktamadkan melalui proses rasmi parti dan gabungan.
“Nampaknya mereka tidak memahami peruntukan perlembagaan Bersatu mengenai kuasa eksekutif presiden.
“Aduan ini pula sangat bergantung pada surat presiden Bersatu kepada presiden-presiden parti anggota PN dan salinan kepada timbalan setiausaha PN yang dibocorkan di media sosial,” katanya.
Tun Faisal berkata Muhyiddin tidak berbohong, merujuk apa yang dianggap ‘cadangan’ dan ‘implikasi struktur’ mengenai jawatan pengerusi PN dimansuhkan.
“Pernyataan yang dibuat adalah hasil rundingan awal dan analisis implikasi logik, bukan niat menipu atau fakta palsu.”
Dalam satu surat yang bocor kepada umum, Muhyiddin mendakwa Bersatu dan PAS bersetuju memansuhkan jawatan pengerusi PN sebagai sebahagian daripada penyusunan semula gabungan itu, dalam satu mesyuarat antaranya dan pemimpin PAS, pada 16 Jan.
Beliau mendakwa, dalam mesyuarat tersebut, kedua-dua parti bersetuju dengan penyusunan semula PN, yang mana Bersatu akan mengetuai majlis presiden, manakala jawatankuasa eksekutif pula akan diterajui PAS.
Susulan itu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan perkara tersebut tidak dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.
Seorang ahli senior Bersatu, Hariz Faisal Ismail, telah mengemukakan aduan tatatertib terhadap Muhyiddin, dengan mendakwa surat kepada presiden parti komponen PN dikeluarkan tanpa kelulusan sewajarnya, dan menyalahgunakan nama parti, sehingga menjejaskan kredibilitinya.
Hariz berkata, cadangan dalam surat itu tidak pernah dibincangkan mahupun disahkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) atau majlis presiden, dan jawapan susulan daripada PAS pula bercanggah dengan penjelasan Muhyiddin, sekali gus mencetuskan kekeliruan dan kerosakan reputasi, lapor Scoop.
Beliau memetik peruntukan dalam perlembagaan Bersatu yang memerlukan presiden mematuhi keputusan parti dan menjaga imej parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan