Bernama-Dpa
Paris: Seorang bekas pekerja taman asuhan kanak-kanak (taska) di Perancis dijatuhi hukuman penjara 30 tahun kerana membunuh seorang bayi berusia 11 bulan dengan memaksa mangsa meminum agen pencuci berasid, lapor agensi berita Jerman (dpa) memetik media Perancis pada Jumaat.
Juri di Jabatan Ain, timur tengah Perancis mendapati wanita berusia 29 tahun itu sengaja menuang cecair pencuci longkang dalam jumlah yang banyak ke dalam mulut bayi perempuan itu di Lyon pada Jun 2022, sehingga menyebabkan kematiannya.
Wanita berkenaan mengaku menuang agen pencuci itu ke dalam mulut mangsa, namun menafikan mempunyai niat untuk membunuh.
Beliau mendakwa hanya mahu bayi itu berhenti menangis, lapor BFMTV dan media lain.
Pihak pendakwaan berkata kanak-kanak itu meninggal dunia selepas beberapa jam menanggung penderitaan yang amat dahsyat.
Dalam perbicaraan awal, defendan dijatuhi hukuman penjara 25 tahun memandangkan niat untuk membunuh tidak dapat dibuktikan pada ketika itu.
Pejabat pendakwa raya kemudiannya memfailkan rayuan atas permintaan ibu bapa mangsa.
Hukuman baharu itu merangkumi tempoh minimum 15 tahun, yang bermaksud wanita terbabit tidak layak memohon pembebasan awal atau parol sebelum tempoh berkenaan tamat.
Pakar psikiatri mendapati wanita itu mempunyai kematangan mental yang rendah, namun menolak sebarang faktor pengurangan tanggungjawab jenayah atas alasan gangguan mental.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan