"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tuduhan Zuhdi amat menyinggung hati pemimpin, ahli PAS - Syahir

N Faizal Ghazali

Seorang pemimpin kanan PAS berkata, tindakan Mohd Zuhdi Marsuki memberi pandangan tentang perjalanan parti - termasuk mengenai pindaan perlembagaan mereka - secara terbuka adalah tidak wajar.

Malah kata Penolong Setiausaha Agung PAS, Syahir Sulaiman, pendekatan yang diambil bekas Setiausaha Politik Menteri Alam Sekitar dan Air semasa kerajaan PN itu "amat menyinggung" parti.

Mengulas mengenai dakwaan Mohd Zuhdi bahawa pindaan tersebut dibuat di muktamar 2024 sebagai "culas dan curang" Syahir yang juga Setiausaha Politik Presiden PAS memberitahu bekas ahli akademik itu memang seorang yang kritis serta suka memberikan idea di luar kotak.

Namun, kata Syahir, pandangan Mohd Zuhdi terkait pindaan perlembagaan tersebut adalah menyimpang jauh dan amat tersasar.

"Menuduh kononnya pindaan perlembagaan fasal 15A dibuat secara ‘culas dan curang’ amat menyinggung hati para pimpinan dan ahli PAS yang mahu disiplin parti dijaga.

"Sedangkan proses pindaan tersebut amat teratur dan memenuhi keperluan perlembagaan serta peraturan ROS (Pendaftar Pertubuhan).

"Nasihat saya kepada Dr Zuhdi, cukup-cukuplah menulis hal-hal dalaman parti secara terbuka dalam Facebook. Ahli di bawah tidak selesa," kata Ahli Parlimen Bachok itu kepada Malaysiakini.

Tambah Syahir, jika Mohd Zuhdi ada sebarang pandangan berkaitan parti, ia sepatutnya disalurkan dalam usrah atau mesyuarat.

Malah, tambahnya, Mohd Zuhdi juga boleh sampaikan pandangan tersebut secara langsung kepada mana-mana pemimpin PAS Pusat.

"Saya sendiri sentiasa terbuka untuk terima teguran, idea dan kritikan. I’m just a phone call away," katanya lagi.

Sebelum ini Mohd Zuhdi membuat dakwaan bahawa pindaan yang dilakukan PAS dalam muktamar mereka di Temerloh, Pahang pada 2024 dibuat secara culas dan curang. Dia juga menggambarkan proses itu sebagai "serang hendap" apabila dibuat menjelang Maghrib.

Mohd Zuhdi menyatakan demikian semasa menekankan pandangannya bahawa Mursyidul Am PAS sepatutnya dianggap sebagai "amir" (ketua) dan berada di atas badan-badan lain.

Dia juga mempersoalkan keabsahan fasal tersebut yang menganggap keputusan memberhentikan keanggotaan seseorang wakil rakyat PAS sebagai muktamad.

Menurut Syahir, sejak akhir-akhir ini Mohd Zuhdi memang kerap menulis, khususnya selepas tidak terpilih sebagai anggota Jawatankuasa PAS Pusat dalam muktamar pada tahun lalu.

Ia ditambah pula dengan isu yang berlaku di Perlis baru-baru ini.

Pada 10 Jan lalu, kata Syahir, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man ada membuat penegasan dalam sebuah program parti dan meminta ahli agar merujuk kepada pemimpin jika timbul sesuatu isu.

Kata Syahir, pada majlis itu Tuan Ibrahim berkata, tempat rujukan yang betul untuk ahli ialah pemimpin PAS Pusat, bukannya mantan pemimpin.

"Kenyataan itu jelas ditujukan kepada Dr Zuhdi yang merupakan bekas AJK PAS Pusat dan juga bekas setiausaha politik kepada Datuk Tuan Ibrahim," katanya.

Tiada ulasan: