K PRAGALATH
Bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Malaysia ke-8, Datuk Dr Marzuki Mohamad mendakwa bekas bosnya Tan Sri Mahiaddin Yassin diserang setiap hari oleh proksi timbalan presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin dari dalam dan luar Bersatu.
Ini termasuk dari Pas.
Tujuannya adalah satu – pengunduran Mahiaddin dari Bersatu.
“Di dalam parti, timbalan presiden yang tugasnya menurut perlembagaan parti adalah membantu presiden, setiap hari menggunakan tangan-tangan kotor menyerang presiden.
“Serangan demi serangan sedang rancak dilancarkan dari dalam parti rakan juga. Perkataan “berambus”, “your time is finished” sudah keluar dari mulut pemimpin Pas tanpa selindung.
“Kawan makan kawan” adalah sindiran kasar pemimpin Pas terhadap Mahiaddin,” kata Marzuki dalam satu hantaran Facebook.
Marzuki mengakui bahawa Mahiaddin bukan manusia sempurna tetapi masanya belum tiba untuk berundur.
Dan itu menyebabkan naib presiden Pas Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sanggup ke London berjumpa Mahiaddin demi sokongan agar ia dinamakan sebagai pengerusi Perikatan Nasional.
Mursyidul Am Pas Datuk Hashim Jasin dan presiden Pas Tan Sri Hadi Awang turut berkunjung ke rumah Mahiaddin.
Marzuki mentafsirkan usaha mengeluarkan Mahiaddin daripada PN dan Bersatu akan menjadi berfaedah bagi dua pihak.
“Bagi Pas, masalah PN akan selesai apabila Muhyiddin berundur. Pas lantiklah orangnya sebagai Pengerusi PN. Tidak perlu lagi pinda perlembagaan PN.
“Cadangan mewujudkan Majlis Presiden dan Majlis Eksekutif seperti yang terkandung di dalam surat Haji Hadi kepada Muhyiddin pada bulan Disember 2024 hanyalah bertujuan untuk mengekang kuasa Muhyiddin sebagai Pengerusi PN, bukan untuk memperkasakan PN.”
Timbalan presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin pula akan menjadi presiden tetapi tidak mungkin menjadi perdana menteri kerana Pas mempunyai ramai calon PM.
Marzuki membayangkan bahawa Hamzah kemudian akan membubarkan Bersatu dan membawa ahlinya kembali kepada Umno.
Justeru itu Marzuki menyatakan Mahiaddin wajar berundur secara terhormat kerana kumpulan yang mendesak di dalam dan luar Bersatu tidak tahu menilai kepimpinan Mahiaddin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan