"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahkamah arah Chegubard, Youtuber bayar RM550,000 kepada Farhash

Malaysiakini 
story-image
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan ahli perniagaan, Farhash Wafa Salvador diberikan ganti rugi sivil berjumlah RM550,000 berhubung saman fitnahnya terhadap Ketua Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin (Chegubard) dan Youtuber, Nurpais Ismail.

Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Apandi, yang menyampaikan penghakimannya pagi tadi, mendapati defendan telah mengeluarkan kenyataan memfitnah Farhash dalam audio siar (podcast) yang diterbitkan di laman Youtube Nurpais pada Mei tahun lalu.

Mahkamah dalam keputusannya menyatakan tuntutan fitnah Farhash terhadap kedua-dua individu tersebut tidak dicabar, memandangkan Chegubard dan Nurpais tidak memfailkan kehadiran. Ini mendorong mahkamah untuk meneruskan pendengaran kes tanpa pembelaan mereka pada 12 Januari tahun ini.

“Bagi ganti rugi am, (selepas mengambil kira) keseriusan dakwaan, tahap penyebaran, kedudukan plaintif dalam masyarakat, serta keperluan untuk membersihkan nama, saya menetapkan ganti rugi am sebanyak RM300,000.

“Saya dapati ganti rugi teladan juga wajar diberikan kerana kedua-dua defendan menunjukkan sikap tidak peduli yang sinis dan terancang terhadap reputasi plaintif dengan memilih untuk mengeksploitasi dan merosakkan nama baiknya demi kepentingan politik serta komersial mereka sendiri.

“Pemberian ganti rugi teladan adalah perlu bagi menghantar mesej jelas bahawa tingkah laku sedemikian tidak akan diterima. Oleh itu, saya memberikan ganti rugi teladan berjumlah RM100,000 terhadap kedua-dua defendan secara bersama dan berasingan,” kata Arziah, sambil menambah dia turut menganugerahkan ganti rugi teruk RM150,000 kepada Farhash.

Arziah juga memerintahkan kedua-dua defendan membayar faedah tahunan sebanyak lima peratus ke atas jumlah penghakiman, yang dikira bermula 26 Mei 2025, iaitu tarikh kes difailkan sehingga ia selesai sepenuhnya.

Dia juga mendapati defendan telah membuat kenyataan fitnah yang jelas mampu mencemarkan reputasi Farhash dalam pelbagai dimensi kehidupannya.

“Elemen rujukan dipenuhi dalam kes ini. Defendan pertama (Chegubard) telah menamakan plaintif secara eksplisit berkali-kali sepanjang temu bual menggunakan nama yang biasa dikenali iaitu 'Farhash'.

“Defendan pertama tidak meninggalkan ruang untuk kekaburan dengan memberikan butiran pengenalan khusus termasuk peranan plaintif sebagai (bekas) setiausaha politik dan 'anak emas' Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“(Defendan pertama juga mengenal pasti) kedudukan plaintif sebagai bekas pemimpin PKR Perak dan pelantikan korporatnya dalam syarikat senaraian awam. Oleh itu, saya dapati tanpa ragu-ragu bahawa kenyataan fitnah tersebut merujuk secara jelas kepada plaintif,” katanya.

Dia menambah, penglibatan Chegubard dalam temu bual bersama Nurpais menunjukkan niat dan kefahaman defendan pertama bahawa kata-katanya akan disebarkan kepada puluhan ribu penonton.

Katanya lagi, temu bual itu bukan perbualan peribadi yang dirakam secara tidak sengaja, tetapi tindakan konfrontasi awam yang disengajakan melalui media massa.

“Defendan kedua (Nurpais) mempunyai kawalan editorial sepenuhnya sama ada mahu menerbitkan kandungan fitnah tersebut atau tidak. Tingkah laku ini bukan sekadar penerbitan pasif kerana dia mengambil bahagian dalam temu bual dengan mengajukan soalan yang dirancang untuk mencetuskan jawapan berunsur fitnah.

Mahkamah mendapati Nurpais memburukkan lagi keadaan dengan mensensasikan podcast tersebut menerusi tajuk yang dirangka untuk memaksimumkan perhatian dan tontonan, sekali gus memburukkan kemudaratan yang berpunca daripada penerbitan itu.

“Motivasi defendan kedua berasaskan keuntungan komersial memandangkan dia merupakan pengarah (sebuah penerbitan) yang menjalankan kursus motivasi dan kewangan, serta ada kepentingan perniagaan untuk menjana tontonan dan kontroversi bagi membina jenama peribadinya dan menarik pelanggan.

“Dia secara sengaja mengeksploitasi reputasi plaintif dan sifat dakwaan tersebut bagi memenuhi tujuan komersialnya sendiri, dengan langsung tidak menghiraukan kerosakan yang dialami oleh plaintif,” katanya.

Mahkamah turut mendapati kedua-dua defendan bertindak dengan niat jahat terhadap plaintif, yang dibuktikan lagi melalui masa dan konteks penerbitan tersebut.

‘Eksploitasi sinikal’

Kata Arziah lagi, temu bual itu menyentuh isu-isu yang sensitif dari segi politik, termasuk pertikaian dalaman PKR dan pelantikan dalam kerajaan.

“Para defendan mengeksploitasi keadaan politik yang tegang ini untuk melancarkan serangan peribadi terhadap plaintif, dengan mengetahui bahawa dakwaan tersebut akan mendapat sambutan dalam kalangan pembangkang dan mencetuskan kontroversi.

“Eksploitasi sinikal terhadap (reputasi politik Farhash) demi keuntungan peribadi dan publisiti ini menunjukkan motif yang tidak wajar.”

Kenyataan para defendan didapati telah mencemarkan reputasi Farhash dengan menggambarkannya sebagai seorang yang korup, tidak jujur serta tidak layak menerima gelaran dan pencapaiannya, katanya.

Dakwaan-dakwaan itu, katanya lagi, telah mendedahkan Farhash kepada kebencian awam, ejekan dan penghinaan dalam masyarakat serta dalam kalangan individu yang mengenalinya secara peribadi.

“Walaupun plaintif telah menarik diri daripada politik aktif, dia masih mengekalkan hubungan dalam lingkaran politik dan dikenali atas khidmatnya sebelum ini sebagai setiausaha politik kepada perdana menteri.

“Kenyataan berunsur fitnah itu telah menjejaskan legasi politiknya dengan menggambarkannya tidak lebih daripada seorang manipulator yang mengeksploitasi kedudukannya untuk kepentingan peribadi.

“Ini secara asasnya memberi gambaran salah terhadap khidmat dan sumbangan politik plaintif,” kata Arziah lagi.

Tiada ulasan: