Suharmin Yusuf
suharmin.yusuf@hmetro.com.my

ANTARA kecederaan yang dialami mangsa berusia 9 tahun, selepas diserang seorang lelaki tidak dikenali di Bukit Sentosa, semalam. FOTO Ihsan bapa mangsa
Rawang: Niat tiga beradik berjalan kaki ke pasar malam bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka nyaris maut diserang dan dicekik seorang lelaki berhampiran Bukit Sentosa, di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 petang semalam, mangsa berusia sembilan tahun, dikejar sebelum ditarik masuk ke dalam rumah oleh suspek lelaki ketika melalui hadapan kediamannya.
Berkongsi kronologi kejadian, bapa mangsa berusia 40, berkata, mangsa bersama dua lagi beradik berjalan kaki ke pasar malam berhampiran selepas mendapat keizinan daripadanya.
"Anak saya tiga beradik berjalan kaki ke pasar malam terletak kira-kira 500 meter dari rumah.
"Ketika melalui hadapan rumah suspek, lelaki itu secara tiba-tiba mengejar anak-anak saya.
"Dia kemudian menarik anak perempuan saya dan menyeretnya masuk ke dalam rumahnya," katanya kepada Harian Metro.
Lelaki itu berkata, abang mangsa berumur 12 tahun yang menyedari kejadian itu segera mengejar untuk menyelamatkan adiknya.
"Saya difahamkan, suspek memijak, menyepak dan menendang anak saya berkali-kali sebelum mencekik anak perempuan saya. Abangnya hanya mampu melihat suspek bertindak ganas.
"Dia mengalami kecederaan termasuk luka koyak yang terpaksa dijahit sebanyak enam jahitan pada bahagian dagu, selain kesan lebam pada leher.
"Mujur ada jiran yang menyedari kejadian itu lalu masuk ke rumah berkenaan untuk menyelamatkan anak saya. Kalau lambat sedikit, saya tidak tahu apa yang akan terjadi," katanya.
Bapa kanak-kanak itu yang juga pekerja swasta berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu selepas seorang individu menghantar anaknya pulang ke rumah.
Dia kemudian bergegas ke lokasi dan mendapati orang ramai sudah menahan suspek.
Menurutnya, dia tidak mengenali suspek dan memaklumkan kawasan perumahan berkenaan sebelum ini disifatkan sebagai selamat serta tidak pernah berlaku sebarang kejadian jenayah sepanjang lapan tahun menetap di situ.
"Ni memang first time (pertama kali).. sebab dekat kawasan ni memang sangat selamat," katanya.
Lelaki itu berkata, anak-anaknya kini masih trauma akibat kejadian itu.
"Selepas kejadian, saya membawa anak saya ke Hospital Sungai Buloh untuk pemeriksaan serta rawatan lanjut dan kini telah berada di rumah," katanya.
Menurutnya, suspek berjaya ditahan orang awam di lokasi kejadian sebelum dibawa pihak polis untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan ibu bapa supaya lebih berwaspada dan tidak membiarkan anak-anak berjalan sendirian tanpa pengawasan walaupun jaraknya dekat.
"Tolong lebih berhati-hati dan jangan biarkan anak berjalan sendiri tanpa pengawasan walaupun dekat dengan rumah kerana sekarang kita tidak boleh menjangka apa yang akan berlaku," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan