Buletin TV3
BANDA ACEH: Polis syariah wilayah Aceh melaksanakan hukuman sebat 140 kali masing-masing ke atas sepasang kekasih yang didapati bersalah kerana melakukan persetubuhan di luar perkahwinan dan minum arak.
Aceh, satu-satunya wilayah di Indonesia yang menguatkuasakan undang-undang syariah.
Pasangan itu disebat di bahagian belakang dengan rotan di tempat awam sambil disaksikan berpuluh orang, menurut seorang wartawan AFP di lokasi hukuman dijalankan.
Pesalah wanita pengsan selepas selesai menjalani hukuman dan dipapah ke ambulans untuk menerima rawatan.
Ketua Polis Syariah Banda Aceh, Muhammad Rizal memberitahu AFP, secara keseluruhan pasangan itu menerima 140 sebatan setiap seorang yang merangkumi 100 untuk persetubuhan di luar perkahwinan dan 40 sebatan kerana minum alkohol.
Difahamkan, ia salah satu daripada jumlah sebatan tertinggi yang pernah dikenakan sejak hukuman syariah berkuat kuasa selepas Aceh diberikan autonomi khas pada tahun 2001.
Pasangan itu antara enam orang yang disebat kerana melanggar hukum hudud, termasuk seorang pegawai polis syariah dan pasangan wanitanya yang ditangkap berdua-duaan di tempat tertutup.
Pasangan itu menerima 23 sebatan setiap seorang.
“Seperti dijanjikan, kami tidak akan membuat pengecualian terutamanya terhadap anggota kami sendiri (yang bersalah). Ini pastinya mencemarkan nama baik kami,” kata Rizal.
Hukuman sebat mendapat sokongan kuat di Aceh untuk menghukum pelbagai kesalahan, termasuk berjudi, minum alkohol, melakukan hubungan seks sesama jenis dan melakukan hubungan seksual di luar perkahwinan.
Tahun lalu, dua lelaki disebat secara terbuka sebanyak 76 kali setiap seorang selepas didapati bersalah melakukan hubungan seksual oleh Mahkamah Syariah.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan