B Nantha Kumar
Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P Punithan, menegaskan PN masih kekal stabil di tengah-tengah spekulasi mengenai ketegangan dalaman gabungan pembangkang itu.
Dia berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat penting yang diadakan di kediaman Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara malam tadi.
Bagaimanapun tiada kelibat pemimpin utama PAS yang dilihat hadir pada mesyuarat tersebut.
"Kami semua dalam keadaan baik. Kita sedang dalam perbincangan hala tuju PN. Kami akan bertemu PAS selepas ini.
"Tiada tanda-tanda buruk. Kami mantap dan bersedia untuk menghadapi PRU 16.
"(Perbezaan pendapat) adalah perkara biasa dalam politik, antara adik-beradik, (tetapi) kami tetap kawan baik," katanya selepas pertemuan tertutup selama hampir tiga jam itu.
Selain Punithan, turut hadir dalam pertemuan tersebut Presiden Gerakan, Dominic Lau; Timbalan Presiden MIPP, S Subramaniam; Naib Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu dan Ketua Penerangan Gerakan, Wendy Subramaniam.
Mesyuarat pra majlis malam tadi diadakan di kediaman bekas perdana menteri itu bagi menggantikan mesyuarat agung luar biasa yang telah dibatalkan.
Pada 27 Jan, Malaysiakini melaporkan Majlis tertinggi (MT) PN telah membatalkan mesyuarat yang dijadualkan berlangsung semalam, yang sepatutnya membincangkan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai pengerusi, serta kemungkinan melantik penggantinya.
Perkara itu dimaklumkan berdasarkan maklumat daripada beberapa sumber parti komponen PN.
Dalam sidang media semalam di Parlimen, Timbalan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan mendakwa mesyuarat "pra majlis" itu sebagai tidak berperlembagaan.
Takiyuddin berkata walaupun perlembagaan PN mempunyai peruntukan untuk penubuhan majlis presiden, badan tersebut tidak pernah dibentuk.
"Presiden Bersatu telah menulis surat kepada semua presiden parti komponen, memanggil ketiga-tiga presiden ini untuk menghadiri mesyuarat (di rumahnya), yang dirujuk sebagai mesyuarat ‘pra majlis’. Saya cari dalam perlembagaan, tak ada apa-apa asas, tak pernah ditubuhkan.
"Memang ada fasal 7A majlis presiden, tapi tak pernah ditubuhkan. Mungkin (mesyuarat pramajlis) panggil minum kopi," katanya.
Sebelum ini, tular surat-menyurat antara Muhyiddin dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mendedahkan pandangan berbeza mereka mengenai dakwaan "konsensus" yang dicapai dalam mesyuarat pada 16 Januari di rumah Ahli Parlimen Pagoh itu, bertujuan menyelesaikan isu-isu yang timbul daripada peletakan jawatannya.
Antara lain, Muhyiddin mendakwa bahawa persetujuan telah dicapai untuk menubuhkan majlis presiden yang diketuai oleh Bersatu dan majlis eksekutif yang diketuai oleh PAS, serta memansuhkan jawatan pengerusi PN yang kini dilihat dikehendaki PAS.
Dalam surat itu, Muhyiddin turut mendedahkan bahawa berdasarkan konsensus yang didakwa itu, dia telah meminta pembatalan mesyuarat luar biasa MT PN yang dipanggil oleh Takiyuddin— yang mana dia tidak dimaklumkan mahupun dijemput— dengan agenda yang merangkumi pelantikan pengerusi PN yang baru.
Sementara itu, Abdul Hadi dalam surat balasannya kepada Muhyiddin mendakwa cadangan penyelesaian yang dirujuk oleh Muhyiddin tersebut tidak pernah dibincangkan mahupun dipersetujui.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan