Hariz Mohd & Alyaa Alhadjri
Surat bocor antara Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menimbulkan spekulasi mengenai siapa yang akan mengetuai gabungan itu.
Surat pertama, yang didakwa dihantar Muhyiddin kepada semua presiden parti PN semalam, mendedahkan bahawa mesyuarat pada 16 Jan di rumahnya, yang dihadiri Abdul Hadi, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, dan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, telah mencapai kesepakatan untuk menyelesaikan isu-isu yang timbul daripada peletakan jawatannya.
Muhyiddin berkata pertemuan itu berlangsung dalam suasana harmoni dan Abdul Hadi memulakan perbincangan dengan menegaskan bahawa PN mestilah kekal sebagai gabungan parti-parti yang dapat menarik sokongan semua masyarakat majmuk di negara ini.
"Atas kesedaran ini, pucuk pimpinan Bersatu dan PAS telah bersepakat bahawa sebagai jalan keluar kepada kemelut berhubung pelantikan Pengerusi PN yang baru, struktur PN hendaklah dirombak dengan mewujudkan Majlis Presiden yang diketuai oleh Bersatu dan Majlis Eksekutif yang diketuai oleh PAS.
"Peranan utama Majlis Presiden ialah sebagai sebuah badan tertinggi yang membuat ketetapan-ketetapan dasar PN manakala Majlis Eksekutif pula menjalankan pentadbiran PN selaras dengan dasar-dasar yang ditetapkan oleh Majlis Presiden.
"Dengan penstrukturan semula PN, jawatan Pengerusi PN dimansuhkan dan hal pelantikan Pengerusi PN tidak lagi berbangkit,” kata Muhyiddin dalam surat itu.
Dalam surat itu, Muhyiddin juga mendedahkan bahawa Timbalan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan telah mengeluarkan notis jemputan Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN yang dijadualkan pada 29 Januari 2026.
Bagaimanapun katanya, dia tidak menerima notis tersebut dan tidak diundang untuk menghadiri mesyuarat berkenaan.
Katanya, notis bertarikh 23 Jan itu antara lain menyenaraikan pelantikan Pengerusi PN yang baru sebagai salah satu agenda mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN.
"Agenda ini adalah tidak selaras dengan kesepakatan yang telah dicapai oleh pucuk pimpinan Bersatu dan PAS pada 16 Januari 2026 dan dipersetujui oleh Presiden Gerakan dan MIPP," katanya.
Bagaimanapun, dalam surat yang dikatakan sebagai respons kepada Muhyiddin hari ini, Abdul Hadi mendakwa penyelesaian yang diperkatakan oleh presiden Bersatu itu tidak pernah dibincangkan atau dipersetujui.
"Adapun mengenai kenyataan Muhyiddin Mohd Yassin bahawa, “Dengan penstrukturan semula PN, jawatan Pengerusi PN dimansuhkan dan hal pelantikan Pengerusi PN tidak lagi berbangkit”, saya ingin menegaskan bahawa isu ini sama sekali tidak pernah dibincangkan dan dipersetujui oleh pihak kami termasuk dalam pertemuan pada 16 Januari 2026," kata Abdul Hadi.
Pada masa yang sama, Abdul Hadi menggariskan beberapa cadangan PAS yang turut menyentuh penubuhan Majlis Presiden baru yang bertindak sebagai ‘Badan Penasihat’ dan ‘Pengawal Selia’, manakala Majlis Tertinggi PN menjadi Majlis Eksekutif PN yang bertindak sebagai ‘Badan Pelaksana’.
"Jawatan Pengerusi PN hendaklah kekal dan tidak dimansuhkan dan diurus tadbir seperti mana yang diperuntukkan dalam Fasal 8.3(l) Perlembagaan PN,” tambah Abdul Hadi dalam surat itu.
Kedua-dua salinan surat berkenaan dihantar kepada media dan kumpulan-kumpulan WhatsApp, dipercayai ada kaitan dengan kem Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, yang beberapa kali menafikan sebarang perselisihan dengan Muhyiddin.
Takiyuddin, yang menyatakan rasa kesal dengan penularan surat daripada Presiden Bersatu itu berkata PAS tidak dapat mengesahkan persetujuan terhadap butiran dalam surat tersebut.
“Pihak kami tidak dapat mengesahkan persetujuan terhadap segala butiran yang terkandung di dalam surat tersebut, khususnya berkaitan cadangan pembentukan Majlis Presiden PN dan pemansuhan jawatan Pengerusi PN.
“Sehubungan itu pihak kami akan menyatakan pendirian terhadap perkara tersebut secara bersurat kepada Presiden Parti-Parti Anggota PN, untuk perhatian sewajarnya,” katanya hari ini.
Malaysiakini turut menghubungi Takiyuddin dan PAS untuk mengesahkan dakwaan balas Abdul Hadi kepada Muhyiddin.
Sejak peletakan jawatan Muhyiddin pada 1 Jan lalu, Abdul Hadi dan pemimpin PAS lain mendakwa parti mereka berhak memimpin PN, tetapi masih belum menamakan calon, di tengah-tengah desas desus mengenai perbezaan pendapat antara golongan profesional dan ulama dalam parti itu.
Antara profesional PAS yang disebut-sebut untuk dicalonkan sebagai pengerusi PN ialah Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Moktar, manakala Tuan Ibrahim mendapat sokongan daripada golongan ulama.
Semalam, Tuan Ibrahim mengesahkan bahawa mesyuarat majlis tertinggi yang dibatalkan esok telah digantikan dengan pertemuan ketua parti di kediaman Muhyiddin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan