KOSMO

Kedua-dua mangsa diserang oleh pengawal keselamatan semasa menghantar makanan baru-baru ini. - Khaosod
BANGKOK – Hampir 100 penghantar makanan berkumpul di luar Balai Polis Pathumwan, Thailand bagi menuntut keadilan selepas rakan sekerja wanita diserang oleh dua pengawal keselamatan, lapor portal berita Thaiger.
Kejadian berlaku sekitar pukul 3 petang (waktu tempatan) di Kelab Sukan Diraja Bangkok, baru-baru ini.
Mangsa yang dikenali sebagai Supphannika, 28 dan pasangannya, Nattawut dihalang oleh dua pengawal keselamatan ketika mereka cuba memasuki premis tersebut untuk menghantar makanan.
“Mereka diarah untuk meletakkan motosikal di luar pintu masuk. Semasa Nattawut meletakkan motosikal, pertelingkahan berlaku antara Supphannika dan dua pengawal keselamatan itu.
“Situasi bertukar cemas apabila salah seorang pengawal keselamatan memukul Supphannika dengan topi keledar dan menendangnya, menyebabkan dia tidak sedarkan diri. Nattawut turut diserang apabila dia cuba campur tangan.
“Mereka kemudian dibawa ke hospital oleh penduduk tempatan,” kata polis.
Kedua-dua pengawal keselamatan itu diberkas dan dihadapkan ke Mahkamah Daerah Pathumwan semalam.
Kakitangan perubatan mengesahkan bahawa Supphannika mengalami keradangan pada rahangnya dan memerlukan pemerhatian hospital selama dua hari. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan