K PRAGALATH
Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa bahawa presiden Bersatu Tan Sri Mahiaddin Yassin merupakan faktor yang memecah belahkan kesatuan Bersatu – Pas di dalam Perikatan Nasional.
“Saya berdoa agar rakan-rakan dalam Pas faham bahawa yang merosakkan hubungan Pas dan Bersatu hanyalah Tan Sri Mahiaddin seorang sahaja, bersama kelompok kecil penjilatnya yang bergantung talian hayat kepadanya.
“Usaha mensabotaj ukhuwah dan memecah kesatuan oleh Mahiaddin tidak membayangkan sikap majoriti lebih besar yang mahu hubungan Pas-Bersatu kekal utuh dan murni.” dakwanya menerusi satu hantaran Facebook.
Wan Saiful yang telah dipecat daripada Bersatu turut mendakwa Mahiaddin juga hilang sokongan majoriti anggota Bersatu.
Dalam Bersatu sendiri tekanan untuk Mahiaddin melepaskan jawatan Presiden Bersatu semakin vokal kedengaran. Ini membayangkan bahawa akar umbi mahu hubungan Pas-Bersatu kekal, malah diperkukuhkan lagi.
“Mahiaddin sudah tiada sokongan dalam Bersatu. Malahan yang menjawab bagi pihaknya hanyalah pegawai yang pernah dibayar gaji dan pemegang jawatan parti yang dia lantik. Amat sedikit pemimpin yang dipilih ahli yang mempertahankan Mahiaddin.
“Malahan, ketua-ketua bahagian Sabah, Perak, dan Johor pun dah ramai bersuara menolak Mahiaddin. Johor itu negeri Mahiaddin sendiri.”
Wan Saiful turut menyifatkan syarat bahawa hanya presiden parti boleh menjadi pengerusi PN yang dikatakan Mahiaddin bertujuan untuk menyusahkan semua pihak di dalam blok politik itu.
“Majoriti yang besar bersetuju bahawa Pas amat layak menerajui PN. Maka jika Mahiaddin mahu permudahkan, terima sajalah sesiapa yang dicalonkan oleh Pas.
“Tetapi Mahiaddin sengaja mahu menyusahkan dengan meletak syarat bahawa Pengerusi PN mesti Presiden parti. Kalau Presiden PAS kata beliau tak mahu, Muhyiddin nak lantik Punithan Paramsiven jadi Pengerusi PN?”
Punithan ialah presiden komponen PN – MIPP.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan