Chia Wan Rou
Penganalisis berkata ia bukan hanya isu teknikal tetapi menonjolkan kelemahan mendasar mahupun petanda krisis kepimpinan yang semakin mendalam.

Menurut penganalisis, Perikatan Nasional gagal menunjukkan disiplin komunikasi serta gagal menyatukan mesej politik sekali gus menunjukkannya rapuh dan menunggu masa untuk berpecah.
PETALING JAYA: Penganalisis berpandangan Perikatan Nasional (PN) kini dilihat seakan-akan ‘menunggu masa untuk berpecah’ susulan kegagalan disiplin komunikasi antara Bersatu dan PAS, apabila- kedua-dua parti itu mengeluarkan kenyataan bercanggah berhubung jawatan pengerusi gabungan berkenaan.
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting berkata, naratif ‘tidak sehaluan’ itu bukan hanya isu teknikal tetapi menonjolkan kelemahan mendasar mahupun petanda krisis kepimpinan yang semakin mendalam.
“PN gagal menunjukkan disiplin komunikasi serta gagal menyatukan mesej politik dan akhirnya kelihatan tiada arah. Ini memperlihatkan gabungan itu sebagai blok rapuh yang menunggu masa untuk berpecah.
“Dalam politik, persepsi adalah segalanya dan persepsi kini ialah PN tidak mampu mengurus perbezaan dalaman,” katanya kepada FMT.
Tambahnya lagi, mungkin sudah tiba masa untuk gabungan itu melaksanakan ‘gag order’ dan menetapkan hanya Majlis Presiden sahaja dibenarkan mengeluarkan kenyataan rasmi.
“Tanpa langkah tegas ini, PN akan terus tenggelam dalam kekeliruan naratif sendiri, mempercepatkan keruntuhan kredibiliti di mata rakyat,” katanya.
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia turut senada sambil menyifatkan perbezaan pendapat secara terbuka ini sebagai sesuatu yang ‘luar biasa’ dan tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah kerjasama Bersatu-PAS.
Menurut Mazlan, kegagalan penyelarasan maklumat asas itu membuktikan ketiadaan keserasian dalam membuat keputusan besar yang melibatkan masa depan PN.
“Ini pada saya adalah asas komunikasi dalam hubungan koalisi politik yang ternyata gagal. Sesuatu yang akan menimbulkan persepsi bahawa tiada satu jalinan kerjasama yang betul-betul erat sekarang antara Bersatu dengan PAS.
“Dulu kita tidak pernah mendengar perbezaan pandangan secara terbuka sebegini yang satu pihak mendakwa kemudiannya satu pihak menafi,” katanya.
Semalam, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mendakwa parti itu bersama PAS telah mencapai persetujuan untuk memansuhkan jawatan pengerusi PN sebagai sebahagian daripada usaha penstrukturan semula gabungan itu, menurut suatu surat bertarikh 27 Jan.
Menurutnya, hasil penstrukturan itu menyaksikan Bersatu akan menerajui majlis presiden PN, manakala PAS akan mengetuai jawatankuasa eksekutif.
Bagaimanapun, perkara tersebut dinafikan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dengan menegaskan pihaknya hanya setuju memperkasakan majlis presiden pada ketika ini.
Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan turut memaklumkan bahawa pihaknya tidak dapat mengesahkan persetujuan terhadap segala butiran yang terkandung di dalam surat tersebut, khususnya berkaitan cadangan pembentukan majlis presiden PN dan pemansuhan jawatan pengerusi PN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan