Harapandaily
AHMAD MURSI
Hari ini penyokong Presiden Pas bergaduh dengan penyokong Mursyidul Am untuk menentukan siapa sebenarnya Amir atau Imam dalam Pas.
Isu ini timbul apabila Mursyidul Am mahu membatalkan keputusan AJK Pas Pusat berkaitan tiga ADUN Pas Perlis.
Soalan mudah: Jika Presiden Pas itu Amir, mengapa keputusannya boleh disangkal oleh Majlis Syura sebagaimana diperuntukkan oleh Perlembagaan Pas
𝗣as bukan Jamaah yang hadis maksudkan
Hadis “Talzam Jama‘atal Muslimin wa Imamahum” yang sering dijadikan hujah telah diselewengkan maknanya.
Jamaah dalam hadis bermaksud masyarakat umat Islam, bukan NGO, bukan parti politik, bukan persatuan, dan bukan jamaah haraki.
Imam dalam hadis pula ialah pemerintah berdaulat yang menjaga keselamatan awam dan mentadbir negara. Kewajipan taat adalah kepada mereka walaupun fasik, selagi tidak memerintahkan maksiat.
Maka Amir atau Imam bukan Presiden Pas, dan bukan juga Mursyidul Am.
Rujuklah tafsiran hadis ini oleh Imam al-Nawawi dan Ibn Hajar al-‘Asqalani, kemudian bandingkan dengan doktrin Pas hari ini
Kesilapan usuli dalam doktrin Pas
Dalam ilmu Usul Fiqh, kewajipan taat yang ditekankan oleh nas mempunyai ‘illah (sebab hukum), iaitu untuk mengelakkan anarki dan huru-hara dalam pemerintahan umat Islam.
‘Illah ini tidak wujud langsung dalam parti politik.
Menyertai parti adalah sukarela. Keluar parti bukan jenayah. Menentang keputusan presiden bukan maksiat seperti didakwa. Ia hanya berkaitan disiplin organisasi.
Kaedah fiqh jelas:
الحكم يدور مع علته وجوداً وعدماً
Hukum berlegar bersama ‘illahnya — tiada ‘illah, maka gugur hukum.
Mengalih konsep jamaah dan imam kepada Pas dan pemimpinnya bukan sekadar salah tafsir hadis, tetapi kesilapan usuli yang sangat besar. Kan kita belajar dalam tajuk Tahqiq Al-Manaat.
Hentikanlah penyelewengan manhaj ASWJ dan penyebarannya kepada umat Islam.
Dah banyak kerosakan kerana doktrin ini
Akibat doktrin inilah berlaku ghuluw. Ketika ahli Pas keluar menubuhkan AMANAH, antara kenyataan Haji Hadi ialah: “Tidak boleh bekerjasama, sama ada mereka bertaubat, atau dimusnahkan.”
Agama akhirnya dijadikan alat kawalan politik, bukan lagi sumber hidayah.
Perbezaan pandangan dalam politik dan pentadbiran dihukum sebagai “lawan Islam” dan “batal akidah”.
Pas disakralkan seolah-olah suci seperti agama Islam itu sendiri, kononnya tidak mungkin salah.
Persaingan politik dianggap “jihad”, dan kematian akibat pertembungan sesama Muslim pula dilabel “syahid”.
Paling berbahaya, pintu ekstremisme dan kafir-mengkafir terbuka luas, lalu merosakkan akidah umat Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan