Malaysiakini
Hubungan antara PAS dan Bersatu dilihat semakin meruncing apabila beberapa pemimpinnya saling tuduh menuduh antara satu sama lain.
Terbaru, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari menepis dakwaan bahawa ketamakan PAS mengorbankan hubungan dengan Bersatu.
"Anda dan beberapa kerat pemimpin anda yang tamak. Masuk Bersatu pada tahun 2023 selepas PRU, dan pandai-pandai label PAS sebagai tamak dan pemimpinnya gila jawatan.
"Jika PAS tamak, PAS tidak serahkan jawatan ketua pembangkang kepada parti lain walhal PAS mempunyai kerusi paling banyak," katanya dalam hantaran di Facebook.
Dia mengulas laporan Berita Harian yang memetik sumber tidak dinamakan yang menyifatkan parti Islam itu sebagai "tamak".
"Apa dilakukan PAS kini jelas menampakkan ketamakan parti itu dalam mengejar jawatan dan berasakan mereka kuat.
"Ketamakan ini akan memakan diri PAS sendiri sebab ada pemimpinnya gila hendak merebut jawatan," kata sumber berkenaan.
Laporan yang sama turut memetik kenyataan pemimpin Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz yang menyatakan Presiden PAS dan Bersatu telah bersetuju bahawa struktur PN perlu diperbaiki.
Bagaimanapun katanya, wujud perbezaan pendirian mereka dalam isu pemansuhan jawatan pengerusi PN.
Terdahulu, mesyuarat majlis tertinggi PN yang pada mulanya dijadualkan malam tadi dibatalkan dan digantikan dengan mesyuarat pramajlis melibatkan pemimpin tertinggi gabungan itu di kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara.
Mereka yang hadir ialah Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) P Punithan; Presiden Gerakan, Dominic Lau, Timbalan Presiden MIPP, S Subramaniam; Naib Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu dan Ketua Penerangan Gerakan, Wendy Subramaniam.
Tiada pemimpin PAS dilaporkan hadir pada mesyuarat itu.
Antara pemimpin Bersatu yang tidak hadir dalam pertemuan itu ialah Timbalan Presidennya, Hamzah Zainudin, yang memberitahu pihak media semalam bahawa dia tidak dijemput ke perjumpaan itu.
Semalam, Timbalan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, berkata mesyuarat pramajlis itu adalah “tidak mengikut perlembagaan”.
Walaupun perlembagaan PN menyebut mengenai penubuhan “majlis presiden”, Takiyuddin berkata badan tersebut tidak pernah ditubuhkan.
Dua hari lalu, berlaku kebocoran surat-menyurat antara Muhyiddin dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, yang mendedahkan perselisihan pendapat mengenai “konsensus” yang dicapai dalam mesyuarat pada 16 Januari di kediaman Ahli Parlimen Pagoh itu bagi menyelesaikan isu berkaitan peletakan jawatannya.
Muhyiddin antara lain mendakwa terdapat persetujuan untuk menubuhkan majlis presiden diketuai Bersatu dan majlis eksekutif diketuai PAS, serta memansuhkan jawatan pengerusi PN, yang kini diintai oleh parti Islam itu.
Berdasarkan konsensus yang dikatakan dicapai itu, Muhyiddin turut meminta pembatalan mesyuarat luar biasa majlis tertinggi PN yang diumumkan Takiyuddin, dan ini termasuk agenda pelantikan pengerusi PN baru.
Abdul Hadi, dalam surat balas yang dikeluarkannya kepada Muhyiddin mendakwa cadangan penyelesaian yang dirujuk oleh pemimpin Bersatu itu tidak pernah dibincangkan atau dipersetujui.
Perpecahan dalaman PN ini berlaku susulan perbezaan pendapat dalam Bersatu apabila wujud kumpulan dalam parti itu yang menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan Muhyiddin, dan sebaliknya menyokong Hamzah mengambil alih parti itu.
Semasa mesyuarat agung tahunan Bersatu pada Sept tahun lalu, beberapa perwakilan secara terbuka menggesa Muhyiddin meletak jawatan sehingga mencetuskan spekulasi bahawa dia akan digantikan dengan Hamzah melalui Akuan Bersumpah.
Bersatu kemudiannya menyingkirkan bekas anggota majlis tertinggi parti itu, Saifuddin Abdullah dan Wan Saiful Wan Jan, bersama empat ketua bahagian, sekali gus menambahkan kekusutan dalaman parti berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan