"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tiga lelaki menyamar polis selamba tahan, gari warga Indonesia

NURUL IZZATI ZAINI
Ves polis serta gari yang ditemukan dalam beg salah seorang daripada tiga suspek ditahan di Taman Maluri, Cheras, Ahad lalu
CHERAS – Helah tiga lelaki menyamar sebagai polis kononnya ingin memeriksa permit kerja seorang warga Indonesia membawa padah apabila mereka dicekup dalam kejadian di Taman Maluri, di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, dalam kejadian pada pukul 10 malam, pengadu warga Indonesia ditegur tiga individu tidak dikenali sebelum ditanya sama ada mempunyai permit bekerja atau tidak.

Menurutnya, suspek kemudian meminta mangsa membuka beg kononnya untuk pemeriksaan sebelum salah seorang daripada mereka bertindak menggari mangsa sambil mendakwa dirinya anggota polis.

“Seorang saksi yang berada di tempat kejadian kemudiannya menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras untuk mendapatkan bantuan polis.

“Anggota MPV yang tiba di lokasi menahan ketiga-tiga suspek dan pemeriksaan ke atas beg salah seorang menemukan sepasang gari serta ves polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Rosdi berkata, ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 20-an dan merupakan warga tempatan.

“Suspek dipercayai memperoleh barangan berkenaan dengan membelinya secara atas talian,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek direman tiga hari bermula Isnin hingga hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 170 dan Seksyen 171 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam serta siasatan lanjut masih diteruskan. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: