"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mapim: Rumah ibadat haram tak boleh dirunding, ia lemahkan kedaulatan undang-undang

Mohd Zaini Samsu Hadi

KUALA LUMPUR – Sebarang pelanggaran undang-undang berkait isu pembinaan rumah ibadat secara haram tidak boleh dirunding atau diberi pampasan kerana tindakan sedemikian akan melemahkan kedaulatan undang-undang serta mencetuskan ketidakadilan dalam pentadbiran negara.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid menegaskan, pihaknya memandang serius berhubung perkara itu dan berpendirian isu tersebut bukan bertujuan menafikan kebebasan beragama sebaliknya menekankan prinsip asas kedaulatan undang-undang dan keadilan yang mesti ditegakkan secara konsisten kepada semua pihak.

“Pembinaan tanpa kelulusan adalah satu pelanggaran nyata. Jika setiap pelanggaran diberi ganjaran dengan tapak baharu atau pampasan, undang-undang akan berubah menjadi alat tawar-menawar, bukan lagi peraturan bersama yang wajib dipatuhi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, sebarang kompromi selepas undang-undang dilanggar hanya akan mewujudkan preseden berbahaya kerana ia menghantar mesej bahawa melanggar peraturan merupakan jalan pintas untuk mendapatkan pengiktirafan.

Tambahnya, keadaan itu bukan sahaja melemahkan autoriti kerajaan, malah membuka ruang kepada manipulasi dan tuntutan berulang pada masa hadapan.

Mohd Azmi turut menegaskan, prinsip keadilan mesti dilaksanakan secara saksama tanpa mengira pihak terlibat.

“Jika rakyat biasa dikenakan tindakan atas pelanggaran kecil, tetapi pembinaan haram berskala besar pula diberi pampasan, maka keadilan telah diputar dan kepercayaan rakyat terhadap sistem akan terhakis,” ujarnya.

Beliau menekankan, tanggungjawab pematuhan undang-undang terletak sepenuhnya kepada pihak pembina dan bukan kerajaan atau rakyat.

“Kegagalan mendapatkan kelulusan tidak boleh dipindahkan menjadi beban kepada kerajaan. Akauntabiliti mesti kekal pada pihak yang melanggar,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan keharmonian sosial hanya boleh dibina melalui kejelasan dan ketegasan peraturan, bukannya kelonggaran terpilih atau kompromi politik yang sering menjadi punca ketegangan antara komuniti.

Sehubungan itu, katanya, Mapim menggesa kerajaan untuk menguatkuasakan undang-undang secara konsisten dan berfasa tanpa provokasi, menjelaskan dasar nasional secara terbuka bagi mengelakkan salah tafsir serta membezakan dengan jelas antara kebebasan beragama dan pelanggaran pentadbiran.

Kerajaan juga disaran menghentikan amalan pampasan automatik dalam kes pembinaan haram bagi memastikan undang-undang dihormati sepenuhnya.

“Kerajaan yang adil tidak bersikap keras membuta tuli dan tidak juga tunduk kepada tekanan selepas undang-undang dicabuli. Ketegasan berprinsip adalah asas kepada keharmonian jangka panjang negara,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: