"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Muhyiddin terdesak, tetapi PAS mungkin tersepit

Nicholas Chung

PETALING JAYA: Penganalisis berpandangan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin kelihatan semakin terdesak untuk terus menerajui Perikatan Nasional (PN), dengan usahanya mungkin membuahkan hasil apabila PAS dilihat semakin tersepit.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, dakwaan Muhyiddin bahawa PAS dan Bersatu bersetuju memansuhkan jawatan pengerusi PN – yang dinafikan PAS – menunjukkan beliau terdesak untuk terus memimpin gabungan itu dalam apa jua cara.

Beliau menyifatkan usaha Muhyiddin mengetuai majlis presiden PN untuk menggantikan Majlis Tertinggi dalam membuat keputusan eksekutif “mencurigakan” susulan peletakan jawatannya sebagai pengerusi gabungan itu berkuat kuasa 1 Jan lalu.

“Nampaknya, beliau hanya merancang cara untuk dirinya (kekal menerajui PN) tanpa perbincangan mendalam dan persetujuan parti lain,” katanya kepada FMT.

Walaupun PAS tidak bersetuju memansuhkan jawatan pengerusi PN menjejaskan imej Muhyiddin, beliau berkata, bekas perdana menteri itu dijangka menggandakan usahanya untuk terus memimpin gabungan pembangkang berkenaan.

Beliau berkata, ini sangat penting menjelang PRU16 kerana pemimpin PN akan menandatangani watikah atau surat pelantikan calon.

“Gesaan untuk Muhyiddin berundur berulang sejak setahun lalu, tetapi beliau tidak berbuat demikian. Saya fikir beliau akan menggunakan kedudukannya sebagai presiden Bersatu untuk berhujah dirinya lebih tinggi dalam hierarki berbanding (calon PAS bagi jawatan pengerusi PN).

“Atau, beliau akan kata majoriti presiden parti PN menyokongnya. Apa pun keadaannya, saya tidak nampak beliau akan berundur.”

Syaza berkata, apabila berdepan tekanan sedemikian, PAS dijangka berundur.

Katanya, PAS sepatutnya menggantikan Muhyiddin lebih awal, jika boleh, dan kegagalan berbuat demikian menunjukkan parti itu juga tidak pasti bagaimana menangani situasi berkenaan.

Tetapi, beliau tidak menjangkakan PAS akan dipaksa meninggalkan PN atau menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN), yang terbubar selepas PAS bersama Bersatu menubuhkan PN.

“Menghidupkan semula MN bukan kemungkinan serius, khasnya bagi Umno. Saya rasa PAS kini terpinggir.”

Semalam, Muhyiddin mendakwa Bersatu dan PAS bersetuju memansuhkan jawatan pengerusi PN sebagai sebahagian penstrukturan semula gabungan itu ketika mesyuarat di rumahnya lebih seminggu lalu.

Bekas perdana menteri itu dilaporkan berkata, mereka juga bersetuju majlis presiden yang akan diketuai Bersatu menjadi pembuat keputusan tertinggi dalam PN, manakala majlis eksekutif pimpinan PAS akan mengendalikan aspek pentadbiran.

Tetapi, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, menafikan dakwaan Muhyiddin dengan berkata perkara itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat 16 Jan lalu.

Dalam surat berasingan yang dilihat FMT, Presiden PAS, Hadi Awang, berkata pendirian parti itu ialah majlis presiden hanya akan menjadi badan penasihat, dengan Majlis Tertinggi kekal pembuat keputusan eksekutif gabungan itu.

Muhyiddin tidak faham sentimen

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata, Muhyiddin dilihat gagal memahami sentimen pemimpin dan akar umbi PN berbanding terdesak untuk berpaut pada kepimpinan gabungan itu.

“Ini bukan soal pemimpin terdesak mempertahankan jawatan, tetapi lebih kepada kegagalan memahami butiran dan inti pati perbincangan serius. Keadaan ini meningkatkan tekanan daripada pemimpin sokongan PAS yang gembira melihat Muhyiddin berundur.”

Katanya, kemelut terbaharu dalam jawatan pengerusi PN hanya akan menguatkan hujah pencabar bahawa Muhyiddin tidak wajar terus memimpin gabungan itu.

Beliau juga tidak menjangkakan PAS akan meninggalkan PN kerana Umno tidak mungkin keluar daripada kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRU16.

“Dengan Zahid Hamidi kekal sebagai presiden Umno dan Anwar Ibrahim terus menerajui PH, saya percaya masanya belum tiba untuk PAS meninggalkan PN kerana kerjasama BN-PH kemungkinan besar akan berterusan hingga PRU16.”

Tiada ulasan: