"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tuan Ibrahim nafi PAS, Bersatu setuju mansuh jawatan pengerusi PN

Faiz Zainudin

PETALING JAYA: Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, menafikan dakwaan partinya dan Bersatu bersetuju untuk memansuhkan jawatan pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Tuan Ibrahim turut menafikan perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat bersama Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, dan pemimpin PAS yang lain pada 16 Jan lalu.

“Kita setuju memperkasakan majlis presiden. Mekanisme dan struktural akan dibincang semula. Itu yang dibincangkan,” katanya kepada FMT.

Tuan Ibrahim berkata PAS berharap isu ini dapati diselesaikan dalam pertemuan esok.

Mesyuarat majlis tertinggi (MT) PN yang dijadualkan berlangsung esok telah dibatalkan, dengan ketua-ketua empat parti komponen sebaliknya dijangka berkumpul di kediaman Muhyiddin.

Difahamkan, pertemuan pemimpin parti-parti itu merupakan mesyuarat awal bagi ‘menentukan hala tuju seterusnya’ sebelum MT PN bersidang bagi mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai pengerusi gabungan serta melantik penggantinya.

Terdahulu, Muhyiddin mendakwa Bersatu dan PAS telah mencapai persetujuan untuk memansuhkan jawatan pengerusi PN sebagai sebahagian daripada usaha penstrukturan semula gabungan itu, menurut suatu surat bertarikh 27 Jan.

Menurutnya, hasil penstrukturan itu menyaksikan Bersatu akan menerajui majlis presiden PN, manakala PAS akan mengetuai jawatankuasa eksekutif.

Katanya, majlis presiden akan menjadi badan tertinggi dalam membuat keputusan berkaitan dasar PN, sementara jawatankuasa eksekutif bertanggungjawab menguruskan aspek pentadbiran.

PN kini tidak mempunyai pengerusi susulan peletakan jawatan Muhyiddin yang berkuat kuasa pada 1 Jan lalu.

Dalam perkembangan terbaharu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, memaklumkan bahawa pihaknya tidak dapat mengesahkan persetujuan terhadap segala butiran yang terkandung di dalam surat tersebut, khususnya berkaitan cadangan pembentukan majlis presiden PN dan pemansuhan jawatan pengerusi PN.

“Sehubungan itu pihak kami akan menyatakan pendirian terhadap perkara tersebut secara bersurat kepada presiden parti-parti Anggota PN, untuk perhatian sewajarnya,” menurut kenyataan.

Takiyuddin turut memaklumkan pihaknya kesal dengan penularan surat presiden Bersatu itu, yang ditujukan kepada presiden parti-parti anggota PN, seperti yang tersebar kepada pihak media.

Tiada ulasan: